Dua lelaki ditahan curi lori tangki

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki ditahan kerana disyaki mencuri sebuah lori tangki minyak jenis Scania bernilai RM130,000 di kawasan Puchong Prima, Puchong di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua suspek berumur 40-an dan 20-an itu ditahan di kawasan berkenaan pada jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan semula lori tangki terbabit yang disembunyikan di Klang, Selangor.

"Soal siasat lanjut mendapati suspek merupakan bekas pekerja syarikat lori berkenaan dan telah menggunakan kunci pendua untuk mencuri kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Azlan berkata, kedua-dua suspek direman tiga hari hingga Ahad ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Akta 574).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah diminta tampil menyalurkan maklumat di nombor 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: