Kes Daim: SPRM serbu rumah, siasat Akbar Khan

Akbar Khan, Daim
Akbar Khan, Daim
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu rumah dan menyiasat ahli perniagaan serta pemaju hartanah, Akbar Khan berhubung dakwaan kes rasuah yang melibatkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Memetik laporan CNA, pemegang saham utama BRDB Developments Sdn Bhd itu disiasat berikutan terdapat dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah.

Susulan itu, pihak berkuasa telah menahan beliau dan menyoal siasat pada minggu lalu selepas menyerbu rumah serta premis perniagaan miliknya di Kuala Lumpur.

Menurut sumber kanan SPRM, akaun perniagaan dan peribadi milik Akbar telah dibekukan dan beliau telah diarahkan supaya mengisytiharkan semua aset termasuk pegangan kewangan keluarganya.

Berikutan kejadian terbabit, pemaju hartanah tersebut dijangka akan dipanggil semula untuk disoal siasat bersama beberapa individu lain dalam tempoh masa terdekat.

Kedua-dua individu terbabit berperanan dalam penghantaran balik saham beku bernilai AS$4 bilion atau bersamaan RM18.75 bilion yang pernah disenaraikan dalam Central Limit Book Order (CLOB).

Namun, pasaran perdagangan Singapura tidak lagi berfungsi dalam urus niaga yang melibatkan pertukaran pegangan saham di konglomerat Multi-Purpose Holdings Bhd (MPHB) pada akhir 1990-an dan 2000 di Malaysia.

Difahamkan siasatan itu turut dikaitkan dengan pengambilalihan Akbar ke atas MPHB pada 1999 termasuk struktur perjanjian tersebut.

Artikel Berkaitan:

SPRM juga sedang menyiasat berkenaan pinjaman sebanyak AS$140 juta unit MPHB di British Virgin Islands, Eightybridge, Amerika Syarikat dan Strykers Development Inc yang digunakan untuk memperoleh kawalan saham MPHB daripada ahli perniagaan, Lim Thian Kiat.

Akbar juga telah memperoleh hak eksklusif dalam meletakkan asas pengambilalihan MPHB daripada kementerian kewangan yang ketika itu dipimpin oleh Daim dalam mengendalikan penghantaran balik saham beku bernilai lebih AS$4 bilion di CLOB.

Menerusi pejabat Akbar, mereka enggan mengulas sebarang kenyataan berhubung penyiasatan itu dan memberi tumpuan terhadap keadilan kes berkenaan.

Sebelum ini,Toh Puan Na'imah Abdul Khalid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan, gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang.

Susulan itu, Daim telah disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28