Muara Kuala Serkam Pantai busuk!

Keadaan muara sungai yang hitam serta mengeluarkan bau busuk di Kuala Serkam Pantai.
Keadaan muara sungai yang hitam serta mengeluarkan bau busuk di Kuala Serkam Pantai.
A
A
A

JASIN - Air sungai di muara Kuala Serkam Pantai di sini bertukar menjadi hitam dipercayai akibat pencemaran sisa kumbahan kilang berhampiran sejak lebih dua minggu lalu.

Bukan itu sahaja, nelayan di kawasan itu juga terpaksa menghidu bau busuk daripada air hitam berkenaan setiap kali muara sungai surut.

Seorang nelayan, Yusman Mohamad berkata, sejak menjadi nelayan 17 tahun lalu, itu adalah kejadian pertama air bertukar hitam dan mengeluarkan bau busuk di muara sungai.

Yusman
Yusman

Menurutnya, setiap kali bot nelayan bergerak, setiap kali itu mereka terpaksa menghidu bau yang kurang menyenangkan.

"Bila air pasang bau busuk tak beberapa kuat bau tapi bila air surut dan keadaan berangin memang rasa loya dan baunya hingga menusuk ke hidung.

"Kita pula rasa tak selesa, dulu tak ada pun berlaku air hitam dan bau busuk tapi saya sendiri tak tahu apa yang menyebabkan air sungai ini bertukar dan berubah warna bila air pasang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Serkam Pantai, Md Sah Hashim berkata, impak pencemaran yang berlalu sedikit sebanyak memberi kesan kepada nelayan dan pengusaha medan ikan bakar di Kuala Serkam Pantai.

Md Sah
Md Sah

Menurutnya, secara tidak langsung keadaan air yang tercemar mengurangkan hasil tangkapan terutama udang dan menjejaskan hidupan ikan air tawar seperti haruan.

"Apa yang berlaku telah menjejaskan sumber tangkapan kami. Sebelum ini kita boleh peroleh tangkapan udang yang banyak, namun kini ia makin berkurangan.

"Harap tindakan segera dapat diambil bagi mengelak masalah lebih besar dan berlarutan dan terus menerus menjejaskan hasil tangkapan kami," katanya.

Terdahulu, masalah itu turut diajukan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), namun sehingga kini masih belum diambil tindakan.

Difahamkan masalah itu juga didakwa berpunca dari kolam udang yang telah sekian lama terbiar hingga air kolam tersebut mengalir ke muara sungai.