Sasar jadikan sistem PADU bersifat masa nyata - Rafizi

Hantaran Rafizi di X mengenai PADU pada Khamis.
Hantaran Rafizi di X mengenai PADU pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan menyasarkan untuk menjadikan Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai sistem yang komprehensif daripada bersifat hampir masa nyata kepada masa nyata.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah ini penting bagi membolehkan sebarang rujukan atau semakan mengenai data dibuat dalam tempoh yang lebih singkat.

"Cabaran kita sebelum ini ialah walaupun kerajaan memiliki segala data di jabatan atau agensi kerajaan, data-data ini tidak dikongsi antara satu sama lain. Proses semak silang sesama jabatan juga mengambil masa.

"Melalui PADU, sekiranya berlaku sebarang perubahan maklumat di sesuatu jabatan kerajaan, secara automatik data-data di PADU dan juga di aplikasi-aplikasi kerajaan yang lain akan turut berubah dan ini yang dikatakan daripada near real time (hampir masa nyata) kepada real time (masa nyata)," katanya menerusi hantaran di platform X pada Khamis.

Sinar Harian melaporkan seramai 4.32 juta daripada 30.08 juta rakyat Malaysia telah mengemas kini data di sistem PADU setakat Isnin.

Berdasarkan status dimuat naik di laman Facebook PADU Official, Selangor merekodkan 0.65 juta individu telah mengemas kini data manakala Sarawak (0.57 juta), Johor (0.41 juta), Perak (0.39 juta), Sabah (0.36 juta) dan Kedah (0.29 juta).

Tambah Rafizi, melalui pengemaskinian data PADU ia secara tidak langsung menjadikan sistem ini sebagai rujukan utama agensi di peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, menerusi hantaran sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan turut memberi penjelasan mengenai sistem berkenaan yang masih dipertikai ramai pihak.

Artikel Berkaitan:

"Pandangan umum di luar adalah kerajaan telah memiliki semua maklumat, jadi mengapa perlu dikemaskini atau diisi semula? Bukankah hanya dengan kad pengenalan, segala maklumat boleh diakses?

"Data di dalam PADU memang adalah data-data pentadbiran dan sudah tersedia melibatkan sejumlah 30 juta rakyat Malaysia. Atas faktor keselamatan, hanya sebahagian sahaja data yang kita lepaskan kepada rakyat untuk dikemaskini," katanya.

Ujarnya, langkah ini dibuat untuk melindungi data-data yang dikira sensitif, terutamanya yang membabitkan kedudukan kewangan individu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28