'Ramadan kami tanpa bayi'

Mohammad Faez melawat bayinya ketika dirawat di NICU Hospital Ampang, Selangor. (Gambar kecil: Nur Amirah Radhiah)
Mohammad Faez melawat bayinya ketika dirawat di NICU Hospital Ampang, Selangor. (Gambar kecil: Nur Amirah Radhiah)
A
A
A

KOTA BHARU - Impian pasangan suami isteri untuk menyambut Ramadan bersama anak sulung mereka hanya tinggal kenangan apabila si kecil itu 'pergi' selepas tiga hari dilahirkan.

Lebih menyedihkan, Mohammad Faez Juhari, 28, dan isteri Nur Amirah Radhiah Ahmad, 25, apabila bayi mereka tiba-tiba disahkan dijangkiti kuman sebaik sahaja dilahirkan dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Ampang, Selangor.

Mohammad Faez memberitahu, sehingga kini mereka tidak boleh melihat semua pakaian dan keperluan bayi yang diberi nama Mohammad Faleeq Al-Fateh Bin Mohammad Faez kerana terlalu sedih dengan dugaan berkenaan.

"Sebulan sebelum kelahiran Mohammad Faleeq Al-Fateh, kami teruja membelikan pakaiannya namun ALLAH SWT lebih sayangkan dia, walaupun besar harapan supaya anak dapat merasainya tetapi semua itu tidak kesampaian," katanya.

Berkongsi cerita duka itu, Mohammad Faez Juhari berkata, isterinya mula sakit untuk bersalin pada 8 Februari lalu dan dia terus membawanya ke hospital berkenaan berikutan kedua-dua mereka bekerja di sana.

Bagaimanapun beliau memberitahu, doktor memaklumkan isteri perlu bersalin melalui kaedah Czer kerana bimbang bayi dalam kandungan lemas dan terkena jangkitan kuman.

"Saya kemudian menanti dengan penuh bimbang kerana isteri masih tidak bersalin dari jam 5.20 pagi pada 10 Februari dan sehingga jam 8 pagi doktor memberitahu jantung anak saya lemah dan isteri dibawa ke dewan pembedahan.

"Pada jam 9.30 malam hari yang sama, isteri selamat melahirkan tetapi Mohammad Faleeq Al-Fateh

Artikel Berkaitan:

terpaksa dimasukkan ke NICU. Luluh hati saya melihat seluruh badannya dipenuhi wayar kerana sebenarnya dia tidak perlu menghadapi situasi itu," katanya.

Menurut beliau lagi, isterinya merupakan insan paling bahagia selepas kelahiran itu namun dia tidak sanggup menceritakan keadaan anaknya yang dirawat di wad berkenaan.

"Selama tiga hari dirawat, dia akhirnya 'pergi' meninggalkan kami pada 13 Februari," katanya.

"Memang pada mulanya kami tidak boleh menerima keadaan itu dan setiap hari isteri saya menangis dan kesihatannya juga tidak begitu memuaskan selepas saya menceritakan perkara yang berlaku ke atas anak kami," katanya.

Jelasnya lagi, kini isterinya sedang berpantang di rumah keluarga di Kampung Sat Hilir Tanah Merah manakala bayi mereka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sat Hilir.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28