Waktu bekerja penjawat awam Pulau Pinang dibincang esok

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkemungkinan membincangkan mengenai sebarang perubahan atau kelonggaran waktu bekerja penjawat awam di negeri itu sepanjang Ramadan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, esok.

"Kita boleh bincang esok dalam mesyuarat Exco,” kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan anjuran Liga Muslim Pulau Pinang di Lebuh Queen, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pahang mengumumkan waktu bekerja penjawat awam negeri itu pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan tahun ini ditetapkan sehingga 12.30 tengah hari.

Sementara itu, Kon Yeow memaklumkan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah meluluskan 27 permohonan penganjuran bazar Ramadan manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) meluluskan 45 Bazar Ramadan dan lapan Bazar Aidilfitri setakat hari ini.

Justeru, beliau menyeru para peniaga supaya menjalankan perniagaan dengan jujur dan amanah tanpa menaikkan harga makanan ketika bulan puasa selain mengutamakan kebersihan demi keselamatan semua pihak.

Bazar Ramadan anjuran Liga Muslim Pulau Pinang itu merupakan acara tradisi yang dihadiri Kon Yeow pada hari pertama Ramadan setiap tahun sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota sejak 2008. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: