KPDN serbu kilang proses minuman guna cap dagangan disyaki palsu

KPDN Kedah melakukan serbuan di sebuah kilang pemprosesan minuman dan stor penyimpanan di Kawasan Perusahaan Mergong 2 kerana menggunakan cap dagangan disyaki palsu pada Isnin.
KPDN Kedah melakukan serbuan di sebuah kilang pemprosesan minuman dan stor penyimpanan di Kawasan Perusahaan Mergong 2 kerana menggunakan cap dagangan disyaki palsu pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah kilang pemprosesan minuman dan sebuah stor penyimpanan di Kawasan Perusahaan Mergong 2 di sini, diserbu kerana menggunakan cap dagangan disyaki palsu pada Isnin.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan kira-kira jam 10 pagi bersama wakil pemilik cap dagangan dilakukan susulan aduan daripada wakil pemilik cap dagangan.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua premis itu telah menemui sejumlah unit kopi pra campuran yang menggunakan cap dagangan berdaftar yang disyaki palsu.

"Pegawai serbuan KPDN Kedah bertindak menyita 100,000 unit bungkusan kopi pra campuran dan satu gulung plastik pembungkusan yang menggunakan cap dagangan untuk siasatan lanjut.

"Jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM95,100," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Muhammad Nizam berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

"KPDN ingin mengingatkan mana-mana orang yang cuba menjual barangan tiruan akan diambil tindakan tegas.

"Kita turut mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengguna boleh menyalurkan aduan untuk tindakan selanjutnya melalui WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 atau Pejabat KPDN Kedah 04-7001745.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28