X

Kindly register in order to view this article
!

337 perokok di Selangor dikompaun

Dr Sha’ari
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 433 notis kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM103,850 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sepanjang operasi penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, daripada jumlah itu, 315 notis dikeluarkan kepada mereka yang didapati merokok di tempat makan.

Katanya, sebanyak 22 notis kesalahan turut dikeluarkan kepada perokok berusia bawah 18 tahun melibatkan pemilikan rokok elektronik.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan larangan merokok dijalankan serentak melibatkan 344 pegawai yang diberi kuasa ke atas 2,638 premis di negeri ini sejak 1 Januari lalu.

“Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 (pindaan 2018),” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 96 notis kesalahan dengan jumlah kompaun bernilai RM24,000 pula dikeluarkan kepada pemilik premis mengikut Peraturan 12 (1)(a) dan 12 (1)(b) PPKHT 2004 kerana gagal memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok termasuk gagal mempamerkan larangan merokok secara jelas, menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok serta perkhidmatan menjual shisha kepada pelanggan.

“Daripada jumlah itu, 90 notis dikeluarkan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok manakala selebihnya kerana menyediakan kemudahan merokok,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, mereka yang menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun sebanyak RM250 dan bagi perokok bawah 18 tahun dikompaun sebanyak RM50.

Katanya, jumlah kompaun boleh dikurangkan kepada RM150 bagi kesalahan kali pertama dan bayaran dijelaskan di mana-mana pejabat kesihatan daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh kompaun diterima.

"Bagaimanapun tiada pengurangan kompaun bagi kesalahan kali kedua dan pesalah boleh dikenakan kompaun RM350 jika kesalahan dilakukan kali ketiga antara Januari hingga Jun ini.

“Bermula Julai, tiada lagi tawaran kompaun diberikan sebaliknya tindakan pendakwaan akan diambil kepada perokok yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, perokok yang berhasrat berhenti merokok dialu-alukan mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan merokok mQuit di semua klinik kesihatan dan hospital seluruh negara dengan mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau hubungi talian 03-88834400 untuk maklumat lanjut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus