Kerani ditipu RM30,000: Polis teruskan siasatan

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis sedang meneruskan siasatan berhubung kes seorang kerani akaun yang mengalami kerugian RM30,000 selepas ditipu beberapa individu dan dipercayai menjadi mangsa scammer.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Suprintendan Norazam Shaari berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat seorang wanita pada Jumaat lepas kira-kira jam 3.26 petang yang mendakwa telah menerima panggilan daripada individu pada hari sama jam lebih kurang 12.05 tengahari.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis bernama Sarjan Iqbal dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"Panggilan kemudian disambungkan kepada individu lain yang kemudian memberitahu mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram bersama individu lain yang telah ditangkap polis.

"Mangsa kemudiannya diminta membuat pindahan wang ke satu akaun lain sementara siasatan terhadap kes tersebut diselesaikan.

"Setelah membuat pindahan wang barulah mangsa menyedari telah ditipu," katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa scammer: Kerani akaun rugi RM30,000]

Norazam berkata, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang dalam usaha mengesan individu-individu yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang panggilan telefon yang mengaku dari balai polis atau mana-mana agensi kerajaan.

"Sekiranya merasa ragu-ragu dengan apa yang dinyatakan oleh pemanggil (scammer), orang ramai dinasihatkan membuat semakan di kaunter balai polis berhampiran atau di mana-mana cawangan agensi yang dinyatakan oleh pemanggil," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang transaksi kewangan dan tidak mendedahkan sebarang maklumat akaun atau kewangan dan diri kepada pemanggil sebelum sebarang pengesahan dibuat berkenaan isu yang dinyatakan oleh pemanggil.