Tiada miskin tegar di Johor pada 2025

Tunku Mahkota Ismail ketika merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, pada Khamis.
Tunku Mahkota Ismail ketika merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar tiada seorang pun ketua isi rumah bangsa Johor yang berstatus miskin tegar pada 2025.

Baginda bertitah kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mencari dan mengenal pasti golongan terbabit di kawasan masing-masing dalam tempoh 19 bulan akan datang dan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan.

"Menjadi keutamaan saya untuk memastikan semua bangsa Johor mempunyai makanan di atas meja masing-masing, tempat tinggal, akses pendidikan berkualiti untuk anak-anak Johor serta akses kepada kemudahan asas dan kesihatan yang baik.

"Saya menitahkan agar tiada seorang pun ketua isu rumah bangsa Johor yang berstatus miskin tegar selepas 2025. Dalam jangka masa 19 bulan yang akan datang, sila cari dan kenal pasti di kawasan DUN anda, siapa yang tergolong dalam kategori ini.

"Berikan segala bantuan yang diperlukan melalui agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau swasta untuk membantu mereka," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di di Bangunan Sultan Ismail dekat sini, pada Khamis.

Persidangan DUN Johor kali ini menjadi detik bersejarah kerana kali pertama Tunku Mahkota Ismail memulakan pembukaan DUN Johor sejak dilantik selaku Pemangku Sultan Johor, 22 November lalu.

Dalam pada itu, baginda bertitah agar kesemua ADUN daripada pihak kerajaan dan pengimbang terus berkhidmat kepada rakyat dengan memahami keresahan yang dialami bangsa Johor terutama dari aspek kos sara hidup yang meningkat dan ketidakstabilan harga.

Artikel Berkaitan:

"Saya amat memahami keresahan bangsa Johor, situasi ekonomi global tidak menentu khususnya isu-isu peningkatan kos sara hidup, kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan dan isu ketidakstabilan harga.

"Ingin saya ingatkan anda semua... ini juga adalah tanggungjawab terbesar anda sebagai ADUN di Johor. Tolong berkhidmat untuk rakyat dan jangan sesekali lupa akan tanggungjawab ini," titah baginda.

Titah Tunku Mahkota Ismail lagi, kerajaan negeri perlu meneruskan projek menyantuni rakyat agar kesejahteraan sosial terus terjamin untuk semua bangsa Johor.

"Saya ingin melihat Kerajaan Negeri meneruskan projek-projek menyantuni rakyat agar kesejahteraan sosial terus terjamin untuk semua bangsa Johor.

"Ini termasuk program bantuan sosial, pembangunan infrastruktur yang mencukupi dan inisiatif pendidikan yang inklusif meliputi semua peringkat masyarakat," titah baginda.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!