Tunku Mahkota Ismail kecewa gangguan bekalan air ketika Aidilfitri

Tunku Mahkota Ismail merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis. Foto Pejabat Menteri Besar
Tunku Mahkota Ismail merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis. Foto Pejabat Menteri Besar
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa kecewa terhadap insiden gangguan bekalan air yang berlaku di negeri ini pada Aidilfitri, baru-baru ini

Baginda bertitah, tindakan lebih tegas perlu diambil ke atas syarikat dan agensi terlibat berhubung isu ketiadaan air di negeri ini.

"Saya sangat kecewa baru-baru ini apabila menerima berita di negeri Johor menghadapi gangguan bekalan air ketika bangsa Johor sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Perkara ini tidak boleh berlaku lagi pada masa akan datang. Jika perkara ini berlaku lagi saya menitahkan kerajaan negeri Johor agar tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas kepada syarikat dan agensi terlibat.

"Saya ingin tegaskan air Johor adalah kedaulatan dan khazanah negeri yang dijaga dan dipelihara dengan penuh tanggungjawab," titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail bertitah ketika merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Khamis.

April lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menzahirkan rasa kesal atas insiden gangguan belakan air yang berlaku di negeri ini termasuk di Kluang dan Kulai khususnya semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, isu gangguan bekalan air yang berlaku setiap tahun itu pastinya telah menjejaskan persiapan bagi menyambut Aidilfitri kepada penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak Ranhill SAJ (Syarikat Air Johor) juga telah diminta membuat persediaan dan tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara itu tidak berlaku bahkan pihak pengurusan tertinggi Ranhill SAJ juga telah memberikan komitmen untuk memastikan tiada isu gangguan bekalan air mahupun catuan air di negeri Johor sepanjang musim perayaan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!