Dua rakan kekal dipenjara 30 tahun, dikenakan 15 sebatan

Mahkamah Rayuan pada Isnin mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap dua rakan atas kesalahan mengedar hampir 10 kilogram (kg) dadah di dalam sebuah kereta, lima tahun lepas. Gambar hiasan
Mahkamah Rayuan pada Isnin mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap dua rakan atas kesalahan mengedar hampir 10 kilogram (kg) dadah di dalam sebuah kereta, lima tahun lepas. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Isnin mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap dua rakan atas kesalahan mengedar hampir 10 kilogram (kg) dadah di dalam sebuah kereta, lima tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan penjaga mesin eskalator, Mohd Khairul Azwan Zakaria, 37, dan pengutip hutang, Bhahira Fakri, 43, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Februari 2023.

Hakim Hadhariah dalam penghakimannya berkata, kegagalan memanggil pemilik kereta (Honda Accord) untuk memberi keterangan tidak mewujudkan lompang dalam kes pendakwaan kerana asid deoksiribonuklekik (DNA) dua perayu itu terdapat pada kain mereka yang berada dalam but kereta berkenaan.

"Ini bermakna, perayu-perayu ada akses pada kereta itu dan dadah juga tidak tersembunyi, lebih-lebih lagi perayu-perayu telah melarikan diri semasa ingin ditangkap polis.

"Mengikut gambar pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kereta tersebut digunakan oleh perayu-perayu selama dua hari. Oleh itu, kegagalan memanggil pemilik kereta tidak boleh membangkitkan inferens bertentangan terhadap kes pendakwaan,” katanya yang turut bersidang bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Noorin Badaruddin.

Mengenai isu terputusnya rantaian keterangan, Hakim Hadhariah berkata mahkamah tidak nampak di mana terputusnya rantaian keterangan kerana barang-barang kes telah dibuat penanda dan tiada pertikaian mengenai perkara tersebut.

"Pada hemat kami, barang-barang kes yang dikemukakan di mahkamah ialah barangan yang dirampas daripada kereta berkenaan. Oleh itu, sabitan adalah selamat, rayuan perayu-perayu ditolak manakala sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata hakim itu.

Prosiding itu dihadiri peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Mohd Khairul Azwan, peguam, Muhammad Hafizuddin Salehuddin mewakili Bhahira dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fuad Abdul Aziz serta Ng Siew Wee.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar 9.573 kilogram (kg) heroin dan 0.1 kg monoacetylmorphine di dalam kereta Honda Accord di kawasan parkir hadapan sebuah kedai makan di Publika 1, Jalan Dutamas 1, Solaris Dutamas di Kuala Lumpur, pada 11.40 pagi 20 Jun 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah disebat tidak kurang 15 kali.

Pada 16 Februari 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap dua lelaki itu selepas didapati bersalah mengedar hampir 10 kg dadah.

Mereka kemudian memfailkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut di Mahkamah Rayuan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28