Guardiola lega City terselamat 'tsunami' Liverpool

Guardiola. Foto AFP
Guardiola. Foto AFP
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PEP Guardiola lega apabila Manchester City terselamat daripada 'tsunami' selepas pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool pada Ahad berakhir dengan keputusan seri 1-1.

John Stones meletakkan City di hadapan pada minit ke-23 dalam aksi menarik di Anfield tetapi The Reds membalas dengan sepakan penalti Alexis Mac Allister pada awal separuh masa kedua.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan tetapi Liverpool lebih dominan dan Guardiola mengakui lega untuk tidak tewas dalam perlawanan itu.

“Kami bercakap pada rehat separuh masa, jika perlu mempertahankan sesuatu anda perlu terus bermain dengan baik.

“Kami memberikan penalti kepada mereka dan dalam tempoh 15 atau 20 minit terakhir, ia kelihatan Liverpool seperti tsunami yang mahu menyerang kami.

“Ia bukan mudah tetapi kami tidak pernah berhenti mencuba untuk bermain dengan baik. Mereka mempunyai peluang mereka, kami mempunyai peluang dan pada penghujung permainan itu (seri) itulah yang berlaku,” katanya.

Guardiola yang memburu mahkota EPL keempat berturut-turut dan yang keenam dalam tujuh tahun teruja untuk terus berada dalam perebutan kejuaraan lagi.

“Masih ada 10 perlawanan lagi, 30 mata untuk direbut dan hanya ada perbezaan satu mata. Yang penting kami masih ada di sini dan dapat terus memberikan saingan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Liverpool dinafikan penalti kedua - Klopp

Dalam pada itu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan pasukannya dinafikan penalti pada minit akhir perlawanan selepas Alexis Mac Allister dikasari oleh Jeremy Doku ketika seri 1-1 di Anfield pada Ahad.

Penalti Mac Allister pada separuh masa kedua selepas kekasaran oleh penjaga gol City, Ederson ke atas Darwin Nunez memastikan Liverpool mendapat satu mata selepas John Stones meletakkan penyandang juara itu mendahului pada separuh masa pertama.

Tetapi Liverpool mungkin berpeluang untuk memenangi perlawanan pada masa kecederaan separuh masa kedua sekiranya pegawai VAR mengarahkan pengadil Michael Oliver melihat semula rakaman VAR kaki Doku yang terkena dada Mac Allister.

"Ia adalah 100 peratus penalti. Mereka (pegawai) perlu memberikan penjelasan.

"Seseorang akan memberitahu saya bagaimana ia bukan penalti, atau Howard (Webb, ketua Professional Game Match Officials Ltd.) akan menghubungi saya esok dan meminta maaf. Ini adalah dua kemungkinan dan kedua-dua perkara itu tidak akan mengubah keputusan.

Doku (kiri) melakukan kekasaran terhadap Mac Allister ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield. Foto AFP
Doku (kiri) melakukan kekasaran terhadap Mac Allister ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield. Foto AFP

"Semua orang yang mempunyai iPad di sekeliling saya berkata, 'ia cukup jelas'. Ia sudah tentu penalti tetapi kami tidak mendapatnya dan itu tidak mengapa. Perkara yang paling penting bagi saya ialah kami boleh bermain bola sepak seperti hari ini," katanya

Keputusan seri itu mengekalkan Liverpool satu mata di hadapan City, tetapi ketinggalan di belakang pendahulu Arsenal dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris.

Memandangkan ketiadaan beberapa pemain utama kerana kecederaan, Klopp memuji pasukannya kerana memperoleh keputusan seri di Anfield.

"Sensasi. 10 minit pertama kami berada dalam keadaan tergesa-gesa dan Manchester City berjaya mengatasi kami. Separuh masa kedua adalah yang terbaik yang pernah kami main menentang City," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28