YaPEIM-Maybank Islamic bangunkan usahawan asnaf

Ameer Ali (empat, kanan) menyampaikan sijil kepada peserta penternak ayam kampung kacuk sempena Majlis Peluncuran Program Pembangunan Usahawan Asnaf (Inspirasipreneur Community Maybank-YaPEIM) pada Ahad.
Ameer Ali (empat, kanan) menyampaikan sijil kepada peserta penternak ayam kampung kacuk sempena Majlis Peluncuran Program Pembangunan Usahawan Asnaf (Inspirasipreneur Community Maybank-YaPEIM) pada Ahad.
A
A
A

PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berusaha membantu lebih ramai asnaf di negeri ini mengubah status mereka melalui pembangunan usahawan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Ameer Ali Vali Mohamed berkata, terkini, mereka memilih 100 peserta membabitkan 50 wanita mengusahakan produk ikan lunak manakala selebihnya terlibat dengan ayam kampung kacuk.

Beliau memberitahu, melalui program berkenaan, terdapat beberapa orang kurang upaya (OKU) yang turut dipilih bagi membantu mereka menjana pendapatan.

Ameer Ali (tengah) melihat proses penghasilan ayam kampung kacuk di reruai sempena Majlis Peluncuran Program Pembangunan Usahawan Asnaf (Inspirasipreneur Community Maybank-YaPEIM) pada Ahad.
Ameer Ali (tengah) melihat proses penghasilan ayam kampung kacuk di reruai sempena Majlis Peluncuran Program Pembangunan Usahawan Asnaf (Inspirasipreneur Community Maybank-YaPEIM) pada Ahad.

"YaPEIM dengan kerjasama Maybank Islamic Berhad menyalurkan bantuan berjumlah RM1 juta bagi pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Asnaf di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Program Pembangunan Usahawan Asnaf (Inspirasipreneur Community Maybank-YaPEIM) pada Ahad.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan, Prof Datuk Dr Razli Che Razak dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Nor Shahrizan Sulaiman.

Ameer Ali berkata, bagi menggalakkan semua asnaf meneruskan usaha berkenaan, mereka turut mendapat kerjasama Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Majlis Pemulihan Negeri Kelantan (MPNK) serta Kumpulan Wanita Nelayan (Kunita).

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu mereka terus mampu bersaing dan jika sebelum ini sebagai penerima zakat tetapi selepas ini akan menjadi sebahagian daripada pembayar zakat," katanya lagi.

Jelas beliau, program itu dijangka bukan sahaja mampu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta melalui latihan yang diterima malah mampu menjana pendapatan yang lebih lumayan.

Beliau juga memaklumkan usaha yang digerakkan sejak tahun 2021 itu antara inisiatif melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan asnaf.

"Sehingga kini kita menerima maklum balas positif kerana ramai yang sudah keluar daripada status kemiskinan," katanya.

Tambah beliau, YaPEIM turut memberi latihan kepada usahawan untuk mendapatkan sijil halal yang diiktiraf.

"Banyak program yang kami sediakan untuk memberi kefahaman bahawa pentingnya sijil halal untuk memajukan perniagaan mereka," katanya.

Sementara itu, YaPEIM turut mengagihkan sumbangan bantuan 'food bank' berupa barangan keperluan asas kepada 342 individu yang telah dikenal pasti dengan nilai keseluruhan berjumlah RM32,400.

Sejak 1985 sehingga 31 Januari 2024, YaPEIM telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM696 juta kepada 8.9 juta penerima manfaat di seluruh negara.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28