ADUN Dengkil nafi antara 5 ADUN Bersatu sokong MB Selangor

Jamil Salleh
Jamil Salleh
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh menafikan dakwaan dirinya antara lima individu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)-Perikatan Nasional (PN) di Selangor yang mengisytiharkan beralih sokongan kepada kerajaan negeri.

Jamil berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan tuduhan bakal membelakangkan pendirian parti dengan menyokong Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari adalah berniat jahat untuk merobek kekuatan PN yang konsisten membela nasib rakyat.

“Saya sebagai wakil rakyat yang diberi mandat khususnya di DUN Dengkil akan terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan saya.

“Sebagai ADUN daripada blok pembangkang juga menjadi semak imbang terhadap kerajaan Selangor supaya lebih telus dan berintegriti dalam mentadbir kerajaan untuk rakyat negeri ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut sumber seperti dilaporkan portal pro-Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, dakwaan lima ADUN terbabit beralih sokongan kepada Amiruddin itu difahamkan diketuai oleh seorang bekas Pengerusi Bersatu Selangor.

Ulas portal berkenaan, semakan menunjukkan bahawa bekas pengerusi Bersatu Selangor yang merupakan seorang ADUN ialah Datuk Abdul Rashid Asari iaitu ADUN Selat Kelang.

Tambahnya lagi, wakil rakyat lain yang turut sama menyokong ialah ADUN Jeram, Datuk Harrison Hassan; ADUN Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani; ADUN Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad dan ADUN Morib, Rosnizan Ahmad namun beliau dikatakan belum membuat ketetapan.

Dalam pada itu, Jamil memaklumkan, kerjasama sebagai ADUN tetap diberikan kepada semua pihak tidak kira kerajaan, pembangkang mahupun agensi-agensi bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tambah beliau, ketetapan dan pendiriannya terhadap PN tetap utuh serta tidak berubah.

“Sekali lagi, saya ingin menyatakan bahawa dakwaan saya menyokong Amiruddin adalah tidak benar dan dinafikan sekeras-kerasnya,” ujar Jamil.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28