LZS agih RM31.9 juta bantuan Ramadan, Syawal kepada lebih 68,000 keluarga

Seramai 100 penerima menerima bantuan pada program simbolik bantuan Ramadan dan Hari Raya LZS pada Ahad.
Seramai 100 penerima menerima bantuan pada program simbolik bantuan Ramadan dan Hari Raya LZS pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM31.9 juta bantuan Ramadan dan Syawal untuk diagihkan kepada 68,311 penerima bermula pada Ahad.

Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan berkata, bantuan itu diagihkan kepada 23,578 ketua keluarga asnaf fakir dengan jumlah agihan zakat RM11.6 juta.

Menurutnya, bantuan turut diagihkan kepada 39,933 ketua keluarga asnaf miskin membabitkan peruntukan RM18.5 juta dan RM1.7 juta diperuntukkan kepada 4,797 orang asnaf mualaf.

"Setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga dan bantuan tersebut mula disalurkan hari ini.

"Bantuan dibuat sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah baucar tunai mahupun serahan tunai," katanya pada program simbolik bantuan Ramadan dan Hari Raya LZS di Kem Bumi Jati, Jalan Kebun di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Yusuf.

Penerima bantuan bergambar bersama pegawai LZS pada program simbolik bantuan Ramadan dan Hari Raya LZS di Kem Bumi Jati, Jalan Kebun pada Ahad.
Penerima bantuan bergambar bersama pegawai LZS pada program simbolik bantuan Ramadan dan Hari Raya LZS di Kem Bumi Jati, Jalan Kebun pada Ahad.

Dalam pada itu, bagi memudahkan asnaf di Selangor, semakan status bantuan tersebut juga boleh dibuat secara dalam talian ezo.zakatselangor.com.my.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, pada tahun ini tiga daerah mencatatkan jumlah peruntukan agihan zakat tertinggi bagi bantuan Ramadan dan Syawal iaitu daerah Petaling, Klang dan Hulu Langat.

Ujarnya, daerah Petaling dengan peruntukan agihan zakat sebanyak RM6,228,900 kepada 13,045 asnaf fakir, miskin dan mualaf.

"Dua lagi daerah masing-masing Klang dengan jumlah agihan sebanyak RM5,553,300 yang diagihkan kepada 12,018 asnaf dan Hulu Langat yang memperuntukkan sebanyak RM4,702,500 kepada 9,953 asnaf.

"Ini diikuti dengan daerah Gombak mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM3,411,250 kepada 7,354 orang asnaf dan daerah Kuala Selangor kepada 7,079 asnaf melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM3,226,900.

"Selain itu, bagi daerah Hulu Selangor pula mengagihkan kepada 5,636 orang asnaf dengan agihan zakat sebanyak RM2,619,400," ujarnya.

Tambah beliau, tiga daerah lagi iaitu daerah Kuala Langat mencatatkan seramai 5,225 asnaf menerima agihan zakat sebanyak RM2,474,650 diikuti dengan daerah Sabak Bernam dengan jumlah asnaf seramai 4,977 melibatkan jumlah agihan RM2,172,000 dan daerah Sepang mencatatkan jumlah agihan RM1,505,500 kepada 3,024 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28