Lagak 'superman' ketika pulang konvoi makan diri

Tiga lelaki ditahan selepas dikesan menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban, pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Azman)
Tiga lelaki ditahan selepas dikesan menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban, pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Azman)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aksi 'superman' tiga samseng jalanan ketika pulang berkonvoi di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, mengundang padah selepas ditahan polis, pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, operasi sepasukan Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman mengesan kumpulan penunggang motosikal terbabit melakukan aksi melulu dan berbahaya.

"Ketiga-tiga penunggang berusia 21 hingga 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.35 pagi ketika memberhentikan motosikal di pekarangan stesen minyak di hentian rehat dan rawat Dengkil arah utara.

"Mereka telah dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Seorang penunggang motosikal ditahan di Semenyih, Selangor pada Sabtu, kerana kesalahan ubah suai nombor pendaftaran motosikal.
Seorang penunggang motosikal ditahan di Semenyih, Selangor pada Sabtu, kerana kesalahan ubah suai nombor pendaftaran motosikal.

Dalam operasi berlainan, JSPT Bukit Aman turut menahan seorang penunggang motosikal di hadapan sebuah restoran di Semenyih, Selangor kira-kira jam 3.20 pagi Sabtu.

Mohd Azman berkata, pemeriksaan mendapati lelaki berusia 29 tahun itu melakukan kesalahan pengubahsuaian nombor pendaftaran motosikal bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Penunggang itu telah dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Kajang untuk tindakan mengikut Seksyen 108(F) APJ 1987," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, secara keseluruhan seramai 11 penunggang telah diperiksa membabitkan empat tangkapan dengan motosikal jenis Yamaha Y15ZR serta Yamaha Y16ZR telah disita.

"Objektif utama operasi ini bagi membendung kegiatan samseng jalanan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya," katanya.

Tegasnya, JSPT menasihatkan penunggang-penunggang motosikal supaya memastikan undang-undang dan peraturan lalu lintas dipatuhi.

"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dengan kegiatan samseng jalanan dan pemalsuan butir-butir kenderaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!