Lipat ganda bantuan untuk penduduk Gaza sambut Ramadan

Rakyat Palestin berkumpul untuk mendapatkan bekalan makanan bantuan di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Xinhua
Rakyat Palestin berkumpul untuk mendapatkan bekalan makanan bantuan di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Xinhua
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia boleh meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan dalam bentuk makanan, ubat-ubatan dan barang keperluan asas lain ke Gaza bagi membantu umat Islam di wilayah perang itu menyambut Ramadan.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, bagi menambah jumlah bantuan itu, Malaysia boleh menggerakkan kempen pengumpulan dana khas sempena bulan puasa untuk rakyat Palestin.

Hussain Yusri Zawawi
Hussain Yusri Zawawi

"Program ini boleh melibatkan kerjasama badan-badan amal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta lebih-lebih lagi bulan Ramadan merupakan waktu terbaik untuk dilipat gandakan kerja-kerja kebajikan dan solidariti.

"Pada masa sama, Malaysia juga boleh memainkan peranan dengan mendorong negara-negara lain untuk turut serta dalam usaha menyediakan bantuan dan sokongan kepada rakyat Palestin sepanjang bulan mulia berkenaan," katanya.

Malaysia melalui Ops Ihsan menyalurkan bantuan ke Gaza dengan penghantaran pertama membabitkan 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan pada 4 November lalu.

Ia diikuti penghantaran kedua bantuan kemanusiaan membabitkan pelbagai barangan keperluan seberat 20 tan menerusi Ops Ihsan yang berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir menerusi penerbangan pesawat kargo khas pada 10 November lalu.

Penghantaran fasa ketiga membabitkan bantuan kira-kira 60 tan pula dilapor mula diterbangkan ke Mesir pada 17 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hussain Yusri menegaskan, penyaluran sumbangan itu boleh terus dilakukan melalui agensi bantuan kemanusiaan tempatan dan kerjasama dengan pertubuhan antarabangsa yang aktif di kawasan tersebut.

Menurutnya, bagi memastikan bantuan Malaysia dapat disampaikan terus kepada rakyat Gaza, kerajaan boleh mengambil beberapa tindakan koordinasi strategik tambahan termasuk melakukan kerjasama dengan negara-negara lain dan pertubuhan antarabangsa untuk menyelaraskan usaha kemanusiaan.

"Ini dapat dilakukan melalui kerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Organisasi Kerjasama Islam (OIC) dan pertubuhan kemanusiaan global lain.

"Kerajaan turut disaran memberikan insentif atau kemudahan kepada syarikat dan lebih banyak NGO yang bersedia menyokong misi kemanusiaan ini melalui diplomasi kerajaan Mesir agar bantuan tersebut selamat sampai kepada rakyat Palestin," ujarnya.

Katanya, kerajaan Malaysia juga boleh mewujudkan saluran komunikasi yang efektif antara agensi kerajaan, NGO, dan pihak-pihak terlibat untuk memudahkan pertukaran maklumat dan koordinasi tindakan dengan melibatkan negara-negara yang berpotensi besar dalam membantu rakyat Palestin.