Mesir iktiraf, sokong usaha Malaysia hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza

Ragai Tawfik Said Nasr
Ragai Tawfik Said Nasr
A
A
A

KUALA LUMPUR - Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr menekankan peri pentingnya untuk seluruh umat Islam bersatu bagi membantu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Nasr berkata, Mesir telah mengambil pelbagai langkah terutamanya dalam usaha penyaluran bantuan kemanusiaan, membendung krisis dan mencapai gencatan senjata sepenuhnya di wilayah yang terkepung yang menjadi sasaran bedilan bom itu.

Beliau turut mengakui peranan penting yang dimainkan Mesir dan Malaysia dalam usaha mencapai gencatan senjata segera dan memudahkan akses bantuan kemanusiaan.

"Sejak hari pertama, Mesir dan Malaysia telah bekerja tanpa kenal erti jemu dalam dua isu utama; gencatan senjata segera dan akses untuk bantuan kemanusiaan.

"Kerajaan Mesir telah menyumbang 75 peratus daripada jumlah bantuan kemanusiaan ke Gaza, termasuk bahan api, makanan, air, bekalan perubatan, peralatan dan pakaian.

"Mesir turut berusaha menubuhkan hospital lapangan di Rafah dan dua pusat perlindungan di Rafah dan Khan Younis selain merancang mewujudkan pusat perlindungan yang ketiga di Khan Younis," katanya dalam sidang media di kediamannya di sini, pada Jumaat.

Nasr berkata sehingga kini Mesir sudah merawat 42,000 rakyat Palestin yang cedera di 16 hospital Mesir dan daripada jumlah ini seramai 3,000 masih dirawat.

Usaha sudah dibuat untuk membawa keluar 47,000 warga asing, termasuk warga Malaysia, Nurul Ain Harun, yang terperangkap di Gaza dan Mesir kekal komited untuk membantu mereka yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai persoalan sama ada kerajaan Mesir merancang menubuhkan kem pelarian di sempadannya atau membawa keluar rakyat Palestin jika pencerobohan Israel semakin berleluasa, duta itu berkata, kerajaan Mesir membantah sebarang usaha untuk memaksa penduduk Palestin berpindah ke luar dari Gaza.

Beliau berkata, apa yang dimahukan oleh Israel selama ini ialah rakyat Palestin meninggalkan tanah air mereka sedangkan rakyat Palestin bermati-matian berjuang untuk terus tinggal di Gaza.

Duta itu amat menghargai sokongan padu Malaysia yang secara tidak langsung memperlihatkan penglibatan proaktif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk memastikan akses untuk bantuan Malaysia dengan kerjasama Mesir.

"Malaysia telah membuat tiga penghantaran bantuan kemanusiaan seberat sehingga 100 tan melalui udara ke Gaza dari November hingga Disember dan sedang siap sedia untuk melakukan penghantaran terbaharu seberat kira-kira 100 tan yang dijadual tiba pada Mac 2024.

Beliau berkata, bantuan Malaysia diberi keutamaan untuk memasuki Gaza dan kerjasama sepenuhnya sedang dilakukan antara kedua-dua kerajaan bagi memastikan bantuan itu sampai tepat pada masanya kepada golongan yang paling memerlukan.

Komitmen Malaysia meliputi sumbangan kewangan dengan tambahan sebanyak AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Dalam perbualan telefon baru-baru ini, Anwar memaklumkan kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi mengenai sumbangan Malaysia dan menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa untuk membiayai UNRWA.

Mesir menyokong penyelesaian dua negara iaitu negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28