Lima penduduk Gaza maut ditimpa kotak bantuan dari udara


Bantuan makanan yang digugurkan dari pesawat di Semenanjung Gaza. Agensi
Bantuan makanan yang digugurkan dari pesawat di Semenanjung Gaza. Agensi
A
A
A

BAITUL MAQDIS - Lima penduduk Gaza dipercayai maut dan beberapa lagi cedera ditimpa kotak bantuan yang digugurkan dari pesawat.

Menurut laporan beberapa agensi berita, insiden berlaku apabila beberapa payung terjun pada kotak bantuan berkenaan gagal berfungsi.

Kegagalan itu menyebabkan palet bantuan jatuh di kawasan orang awam berkerumun untuk menunggu bekalan makanan di utara kem pelarian Shati, bandar Gaza.

Pejabat media kerajaan di Gaza yang mengesahkan insiden itu mengecam pengguguran bantuan dari udara yang dianggap sia-sia, sambil menyifatkan ia sebagai propaganda dan bukannya bantuan kemanusiaan.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak diketahui negara asal bantuan tersebut. Jordan dalam kenyataan rasmi pula menafikan bantuan tersebut dari negara itu.

"Masalah teknikal yang menyebabkan beberapa payung terjun membawa bantuan tidak dibuka dan jatuh bersepah ke tanah semasa pengguguran bantuan udara di Gaza pada Jumaat, bukan dari pesawat Jordan.

"Empat pesawat Jordan yang melakukan pengguguran bantuan udara dengan kerjasama lima negara lain menjalankan misinya tanpa sebarang masalah," kata sumber tentera Jordan.

Selain Jordan, Amerika Syarikat (AS) juga mengesahkan penghantaran bantuan menerusi udara mereka mendarat dengan selamat.

Artikel Berkaitan:

AS, Jordan, Mesir, Perancis dan Belanda antara negara yang menghantar bantuan menerusi udara sejak beberapa hari lalu. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28