Wakil rakyat PN Selangor jamin tak ikut jejak Abdul Rashid - Muhyiddin

Muhyiddin. Foto Bernama
Muhyiddin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan keyakinan bahawa tiada lagi wakil rakyat parti itu akan mengalih sokongan kepada lawan susulan konvensyen bersama barisan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang diadakan pada Sabtu.

Menurutnya, pindaan perlembagaan Bersatu sudah menjadi isyarat jelas mengenai tindakan yang bakal dikenakan kepada wakil rakyat yang mengkhianati parti.

"Mereka yang hadir hari ini menunjukkan komitmen... banyak yang datang jumpa saya dari Selangor menyatakan kedudukan mereka, tiada kaitan dengan apa yang dibuat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari (isytihar sokongan kepada lawan).

"Di peringkat Parlimen pun tak ada cerita apa, nampak kedudukan kita (PN) masih kukuh," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN, di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, enam ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka terdiri daripada Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Susulan itu, Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi ahli Parlimen dan ADUN serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Bagaimanapun, pada 6 Mac, Abdul Rashid pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28