Tanya 'pakar' lompat parti - PM Anwar

Anwar menyampaikan ucapannya pada Majlis Ramah Mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT.
Anwar menyampaikan ucapannya pada Majlis Ramah Mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) untuk menjawab cabaran yang dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kekosongan tujuh kerusi wakil rakyat PN yang 'belot'.

Anwar berkata, perkara itu perlu dijawab oleh ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan sendiri yang mana, soalan itu tidak sepatutnya diajukan kepada beliau.

"Kepala parti lompat nak cadang buat? Terpulang kepada ahli Parlimen (itu sendiri), kenapa tanya saya?

"Dia yang pakar pergi lompat dan 'scheme of things'. Itu dia patut jawab," katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Pitchay.

Tambah Anwar, tindakan enam ahli Parlimen dan seorang ADUN itu menunjukkan mereka hilang kepercayaan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Orang dah hilang keyakinan kepada Bersatu, terutamanya," katanya ringkas.

Anwar bersalaman dengan tetamu yang hadir ke Majlis Ramah Mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT.
Anwar bersalaman dengan tetamu yang hadir ke Majlis Ramah Mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin sebelum ini mencabar kerajaan mengisytiharkan kekosongan kerusi di enam kawasan Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membabitkan wakil rakyat PN yang belot.

Kerusi terlibat adalah Parlimen Tanjong Karang, Bukit Gantang, Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar, Labuan dan DUN Selat Klang.

Muhyiddin berkata, mandat perlu dikembalikan kepada rakyat untuk membuat keputusan setelah wakil rakyat PN yang dipilih dalam pilihan raya umum (PRU) lalu mengkhianati parti dengan menyokong kerajaan.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Susulan itu, Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi ahli Parlimen dan ADUN serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Bagaimanapun, pada 6 Mac, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan di majlis berkenaan, Anwar meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya lebih tangkas untuk menyelamatkan rakyat dan negara agar Malaysia tidak menjadi tempat yang merosakkan akhlak terutamanya untuk para wanita dan anak gadis.

"Malam tadi sempena sambutan Hari Wanita, wanita mengeluh bahawa ada laporan gangguan seksual jenayah terhadap anak-anak, wanita terutamanya yang muda oleh keluarga sendiri, guru, penjaga, ustaz, di maahad tahfiz, di sekolah, ia masih dilapor berleluasa.

"Saya tegaskan di sini, minta kerjasama rakan-rakan, saudara-saudara, anggota polis supaya lebih tangkas dalam menangani isu ini, jangan jadikan negara ini sebagai tempat merosakkan kerana akhlak, tempat penyeksaan dan penderaan dan gangguan kepada anak-anak kita terutama gadis dan remaja," katanya.

Dalam pada itu, Anwar telah meluluskan segera peruntukkan RM500,000 kepada Surau Ibu Pejabat Polis SPT untuk membaiki penyaman udara serta kemudahan-kemudahan lain di surau berkenaan.

Beliau turut meluluskan peruntukan RM1 juta untuk Perumahan Polis Seberang Jaya yang sedang disiapkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!