PN akui perlu kerja keras raih sokongan bukan Melayu

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Wakil Rakyat Perikatan Nasional 2024 hari ini. Foto Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Wakil Rakyat Perikatan Nasional 2024 hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Perikatan Nasional (PN) mengakui masih banyak usaha perlu dibuat untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu menuju pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut diberikan penekanan dan menjadi salah satu daripada 20 resolusi yang diluluskan dalam Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu.

Menurutnya, resolusi berkenaan adalah memperkasakan masyarakat majmuk dengan berlaku adil dan prihatin kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama serta golongan.

"Buat masa ini, kita sudah ambil kira data-data mengenai kawasan yang mempunyai sokongan terbesar daripada bumiputera tetapi sokongan daripada bukan Melayu...baik Cina, India masih kecil.

"Menyedari kekurangan itu, konvensyen ini diadakan bagi mengenal pasti keperluan untuk PN bergerak lebih berkesan dalam memperkukuhkan kedudukan bukan Melayu secara inklusif," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Penutupan Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN.

Tambah Muhyiddin, antara resolusi lain yang diluluskan adalah merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bertunjangkan industri masa hadapan dengan persekitaran perniagaan kondusif.

Jelas beliau, ia bagi menarik pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi di samping mempertingkatkan hubungan perdagangan antarabangsa serta mengoptimumkan potensi sosioekonomi di setiap negeri.

"Menerusi SG4 (empat kerajaan negeri ditadbir oleh PN), kita buat perancangan masa depan supaya kawasan empat negeri PN utara ini akan menjadi satu kawasan pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Artikel Berkaitan:

"Kami sebagai wakil rakyat akan terlibat membantu mempromosikan supaya limpahan daripada pembangunan di situ akan dapat dirasai oleh semua rakyat yang ada di sana," tambah beliau.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan tumpuan akan diberikan kepada usaha peduli rakyat bagi meringankan beban kos sara hidup dengan meningkatkan pendapatan, memastikan barangan keperluan asas tersedia dan mampu diperoleh.

Katanya, ia termasuk meningkatkan akses kepada perumahan dan perkhidmatan kesihatan agar rakyat mendapat taraf kehidupan yang wajar.

"Berkaitan perlindungan sosial rakyat, penubuhan agensi sehenti tunggal bagi menyelaras pemberian bantuan kebajikan, penyediaan peluang kerjaya, peningkatan kemahiran dan pembasmian kemiskinan secara menyeluruh akan dilakukan.

"Begitu juga mengenai Perlembagaan Persekutuan, menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen, kedaulatan undang-undang serta kebebasan badan kehakiman," ujar beliau.

Menerusi resolusi itu juga, Muhyiddin menambah, prinsip federalisme yang berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan akan dijunjung bagi terus menghormati hak negeri-negeri.

Ujar beliau, ia termasuk memperkukuh hubungan persaudaraan antara Semenanjung Malaysia, Wilayah Sabah dan Sarawak dengan sentiasa menghormati Perjanjian Malaysia 1963.