PN rangka siri jelajah negara bersama Syed Saddiq

Muhyiddin (tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Penutup Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN di ibu negara pada Sabtu.
Muhyiddin (tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Penutup Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN di ibu negara pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) merancang mengadakan siri jelajah seluruh negara dengan turun ke setiap negeri bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, siri jelajah tersebut akan dibuat bermula satu tarikh yang bakal ditetapkan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, keputusan menjelajah bersama bekas presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu atas dasar sokongan yang ditunjukkan meskipun tidak menyertai PN.

"Pemimpin peringkat tertinggi PN akan adakan jelajah seluruh negeri untuk jelaskan situasi semasa dan mendengar apakah rintihan rakyat di bawah dan apa peranan PN boleh lakukan untuk sedikit sebanyak ringankan bebanan mereka.

"Ini sedikit sebanyak sebagai satu inisiatif besar kita dengan mengadakan perhimpunan, ucapan oleh setiap pemimpin-pemimpin parti berkaitan dasar perjuangan kita," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN di sini pada Sabtu.

Pada konvensyen berkenaan, PN meluluskan 20 resolusi dengan tema 'Membina masa depan bermaruah'.

Antaranya adalah menegakkan Perlembagaan Persekutuan, menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen, kedaulatan undang-undang serta kebebasan badan kehakiman.

Selain itu, PN juga berikrar menjunjung prinsip federalisme yang berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dengan terus menghormati hak negeri-negeri serta memperkukuh hubungan persaudaraan antara Semenanjung Malaysia, Wilayah Sabah dan Sarawak dengan sentiasa menghormati Perjanjian Malaysia 1963.

Artikel Berkaitan:

Resolusi seterusnya adalah memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan, memperkasa sistem perundangan Islam dan pada masa yang sama menghormati hak penganut agama lain.

Turut ditekankan juga usaha untuk memperkasa masyarakat majmuk dengan berlaku adil dan prihatin kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan golongan, termasuk Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Orang Asal, warga emas, wanita, belia, kanak-kanak dan golongan kurang upaya (OKU).

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28