Sultan Perak berkenan masyhur Lenggong Geopark

Sultan Nazrin (tengah) meletakkan plak simbolik menyempurnakan pemasyhuran Lenggong Geopark di Kota Tampan pada Sabtu.
Sultan Nazrin (tengah) meletakkan plak simbolik menyempurnakan pemasyhuran Lenggong Geopark di Kota Tampan pada Sabtu.
A
A
A

LENGGONG - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan perasmian Galeri Lenggong Geopark di Dataran Kota Tampan di sini pada Sabtu.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Hadir mengiringi baginda, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Nik Nazmi dalam sembah ucapannya memaklumkan kementeriannya berjaya mengiktiraf 11 geopark kebangsaan dalam tempoh tujuh tahun selain berbangga negara memiliki dua UNESCO Global Geopark di Langkawi, Kedah dan Kinabalu, Sabah.

Menurut beliau, peruntukan sebanyak RM4 juta telah diluluskan kepada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak di bawah Rolling Plan pertama hingga ketiga, Rancangan Malaysia ke-12 bagi pelaksanaan kajian dan penyelidikan aspek geologi di Lenggong.

Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak simbolik menyempurnakan pemasyhuran Lenggong Geopark di Kota Tampan pada Sabtu.
Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak simbolik menyempurnakan pemasyhuran Lenggong Geopark di Kota Tampan pada Sabtu.

"Kementerian turut memperuntukkan RM1.1 juta melalui Projek Berskala Kecil di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi menaiktaraf infrastruktur di Lenggong Geopark.

"Hasil kerja naik taraf seperti pemasangan struktur promosi iaitu papan iklan, penunjuk arah, mercu tanda dan papan maklumat di geotapak, tapak biodiversiti, tapak sejarah dan budaya serta pusat penerangan komuniti Lenggong Geopark ini dapat menarik kedatangan pelancong," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Nik Nazmi, pembangunan Galeri Lenggong Geopark yang ditaja Yayasan Al-Bukhary pula telah berjaya menarik seramai 2,500 pengunjung bermula 16 Disember 2023.

"Kementerian ini melalui JMG sedang bekerjasama erat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mewujudkan Lesen Geoguide bagi kawasan Geopark di bawah Akta Industri Pelancongan, 1992.

"Seramai 229 orang geoguide di semua geopark kebangsaan telah berjaya lulus dan di Lenggong Geopark sendiri seramai 23 orang geoguide telah berjaya lulus dalam kursus tersebut," katanya.

Lenggong Geopark mendapat pengiktirafan kebangsaan pada 16 Disember 2021 pada Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Tahun 2021 dan merupakan yang kedua di Perak selepas Kinta Geopark.

Wilayah Lenggong Geopark merupakan persempadanan kawasan Parlimen Lenggong dengan keluasan 2,068 kilometer persegi dan melibatkan 4 mukim dalam daerah Hulu Perak.

Lenggong Geopark mempunyai 27 geotapak yang mana lima daripadanya bertaraf antarabangsa manakala 22 yang lain bertaraf kebangsaan; 9 tapak arkeologi, 8 tapak biologi dan 18 tapak budaya dan sejarah.

Pembangunan Lenggong Geopark adalah berdasarkan kehadiran tapak-tapak warisan semula jadi (geologi, flora dan fauna) dan warisan arkeologi bertaraf UNESCO yang telah diiktiraf sejak 2012, evolusi geologi sejak 550 juta tahun dahulu telah menghasilkan landskap lembah, bergunung ganang, berbukit batu kapur, sungai dan bertasik, yang menyokong kepada kepelbagaian biologi, budaya dan sejarah awalnya.