Sultan Nazrin berangkat ke majlis penutup tilawah al-Quran Perak

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berselawat beramai-ramai ketika berkenan berangkat pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 1445H/2024M. Foto Bernama
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berselawat beramai-ramai ketika berkenan berangkat pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 1445H/2024M. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke majlis penutup serta penyampaian hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Perak 1445H/2024M, yang berlangsung dua hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru di sini malam ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini, serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.

Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah qariah terbaik kepada Puteri Kalimatul Azzua. Foto Bernama
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah qariah terbaik kepada Puteri Kalimatul Azzua. Foto Bernama

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pada malam ini.

Qari Dr Anuar Hasin yang pernah muncul sebagai johan sebanyak tujuh kali sebelum ini, sekali lagi dinobat johan tahun ini, manakala Puteri Kalimatul Azzua Hamid yang pernah muncul sebagai johan qariah peringkat kebangsaan pada 2020 pula, dinobat johan dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000 dan sijil.

Naib johan qari dimenangi Mohd Kamaruzaman Daud dan Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali di tempat ketiga, manakala naib johan qariah dimenangi Norhazira Nabila Mohamad Kamel dan Munirah Razali di tempat ketiga.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000 berserta sijil.

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah johan hafazan al-Quran kepada Allama Al Aini Aziz. Foto Bernama
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah johan hafazan al-Quran kepada Allama Al Aini Aziz. Foto Bernama

Bagi hafazan pula, Muhammad Adib Ahmad Rozaini muncul johan qari bagi kategori 1-30 juzuk, manakala qariah hafazan pula dimenangi Allama Al Aini Aziz @ Abdul Aziz, dengan masing-masing meraih hadiah wang tunai RM10,000 berserta pakej menunaikan umrah bernilai RM10,00 dan sijil.

Pemenang bakal mewakili Perak ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di Kuantan, Pahang pada Mei depan. - Bernama