Hibah, wasiat awal elak perebutan harta

Pembahagian harta sebelum meninggal dunia melalui hibah atau wasiat boleh mengelakkan pertikaian dan perebutan harta selepas kematian seseorang. Gambar kecil: Musa
Pembahagian harta sebelum meninggal dunia melalui hibah atau wasiat boleh mengelakkan pertikaian dan perebutan harta selepas kematian seseorang. Gambar kecil: Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Pembahagian harta sebelum meninggal dunia melalui hibah atau wasiat boleh mengelakkan pertikaian dan perebutan harta selepas kematian seseorang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, ia juga digalakkan dan mendapat tempatnya yang tersendiri dalam Islam jika dilakukan dengan cara betul dan selaras dengan kehendak syarak.

“Harta yang berwasiat lebih mudah untuk diselesaikan pembahagiannya kepada waris apabila pemilik meninggal dunia, berbanding meninggalkan harta tanpa sebarang wasiat.

“Melalui pengisytiharan hibah dan wasiat, ia juga dapat membantu kaum kerabat yang memerlukan bantuan dan sokongan kewangan apabila individu tempat bergantung meninggal dunia.

“Wasiat boleh dibuat semasa pewasiat masih hidup dan ia berkuat kuasa selepas kematian pewasiat,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau mengulas mengenai isu berkaitan harta pusaka yang dianggap sensitif dan boleh membawa kepada pergaduhan antara mereka yang ada pertalian darah, lebih teruk lagi membawa kepada mencederakan.

Ditanya tentang kes yang sering berlaku apabila membabitkan pembahagian harta dan wasiat, Musa memberitahu, sebahagian niat untuk memberikan hibah atau membuat wasiat dizahirkan melalui lafaz lisan sahaja, misalnya ketika makan dan bersembang.

Jelasnya, ia akan menimbulkan masalah di kemudian hari kerana lafaz lisan pewasiat perlu kepada saksi yang mendengar lafaz tersebut. Dalam sesetengah kes, saksi yang mendengar telah meninggal dunia atau uzur, jadi menyukarkan waris untuk membuat pengesahan wasiat di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Satu lagi salah faham tentang wasiat ialah tidak dibenarkan ke atas keseluruhan harta. Dalam Islam, wasiat hanya dibenarkan terhadap tidak lebih satu pertiga daripada keseluruhan harta yang dimiliki pewasiat.

“Wasiat juga tidak boleh dibuat kepada waris yang akan menerima pembahagian pusaka, melainkan dalam keadaan tertentu yang dibenarkan. Wasiat hendaklah kepada bukan waris sahaja,” katanya.