X

Kindly register in order to view this article
!

Keharmonian kaum tidak akan kekal jika ada perasaan curiga

Amirudin Shari
A
A

SHAH ALAM - Kelestarian dan keharmonian kaum di negara ini tidak akan kekal sekiranya ada pihak tertentu cuba untuk menimbulkan perasaan curiga secara berterusan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejak 2008, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan konsep pentadbiran inklusif dengan meletakkan sesuatu perkara pada tempat yang betul.

Beliau berkata, semua pihak perlu faham bahawa negara dan negeri ini adalah dimiliki secara bersama oleh seluruh rakyat.

"Alhamdulillah, kelestarian dan keharmonian itu dapat dijamin serta dikukuhkan ketika ini. Namun, tiada jaminan untuk ia kekal kalau masing-masing timbulkan rasa curiga berterusan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Laluan (B49) Persiaran Mokhtar Dahari hari ini.

Terdahulu, Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mengingatkan kerajaan bahawa jika isu-isu perkauman dan agama tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh menghancurkan Malaysia.

Hussamuddin dalam kenyataannya kepada akhbar ini di Shah Alam menyifatkan suasana hubungan kaum dan agama di negara ini semakin parah terutama sejak 20 bulan lalu.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf menggesa sesuatu yang drastik dilakukan oleh kerajaan termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri-menteri Kabinet bagi menangani masalah tersebut.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, bagi meningkatkan pemahaman mengenai hubungan kaum dan agama di negeri ini, kerajaan Selangor menganjurkan program dialog dan sesi-sesi berkaitan dari masa ke semasa.

"Dalam masa sama, semua pihak perlu faham perlembagaan negara kerana terdapat beberapa jaminan telah ditetapkan.

"Kalau masing-masing kekal dengan prinsip itu, seluruh masyarakat akan dapat hormat-menghormati dan hidup secara bersama," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus