GLC Kedah disaran teroka pelan perniagaan rentas negeri, negara

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan menggerakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri untuk membina pelan perniagaan melangkaui sempadan negeri dalam menjana pendapatan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri akan menggariskan dasar bersesuaian untuk memberi pulangan semula atas keuntungan yang dijana GLC.

Menurutnya, ia membolehkan GLC berkenaan lebih berdikari selain mengurangkan kebergantungan GLC kepada kerajaan negeri sama ada dari segi bantuan projek mahupun suntikan dana operasi.

“Semua GLC perlu ambil berat perkara ini, mereka disaran untuk teroka pelan perniagaan rentas negeri mahupun negara. Kita akan laksanakan segera mungkin,” katanya di sini pada Jumaat.

Sanusi memaklumkan, sejak tahun 2021 Kedah telah mengorak langkah untuk meningkatkan peranan GLC dalam memberi sumbangan semula kepada negeri.

“Antara strategi yang ditekankan kepada GLC ialah memastikan mereka berusaha untuk berdikari atas kaki sendiri. Dengan ini, GLC akan mampu bertindak sebagai ejen pembangunan negeri yang sebenar-benarnya, bukan setakat menjadi syarikat saraan negeri yang terpaksa bergantung kepada projek-projek kerajaan,” jelasnya.

Menurutnya, selepas pelaksanaan itu, hasil sumbangan GLC kepada kerajaan negeri meningkat dari tahun ke tahun.

“Pada tahun 2021, kerajaan negeri menerima sumbangan semula keuntungan syarikat sebanyak RM3.4 juta, seterusnya meningkat kepada RM5.5 juta (2022) dan pada tahun lepas sebanyak RM7.55 juta,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15, pada Isnin, Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar GLC menjadi ejen pembangunan dan penyumbang hasil negeri melalui perniagaan dan pasaran ekonomi bebas.

Sultan Sallehuddin berharap GLC turut menggalas agenda sasaran RM1 bilion kutipan hasil negeri melalui perkongsian semula hasil keuntungan diperolehi.

Baginda menyarankan GLC merangka strategi menjalankan perniagaan melangkaui sempadan negeri khususnya di peringkat nasional dan global.