Penjawat awam Pulau Pinang terima 'duit raya' RM1,200

Kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan BKKA Tahun 2024 sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,200 kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri. Gambar hiasan (Gambar kecil: Kon Yeow)
Kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan BKKA Tahun 2024 sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,200 kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri. Gambar hiasan (Gambar kecil: Kon Yeow)
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2024 sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,200 kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemberian itu sebagai apresiasi dan penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam Pulau Pinang yang merupakan nadi kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, pembayaran bantuan tersebut akan dibuat pada 15 Mac ini.

"BKKA berkaitan akan dibayar pada 15 Mac ini yang dianggarkan bakal membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.44 juta.

"Umumnya, pemberian BKKA ini diharap dapat meringankan beban kewangan penjawat awam negeri khususnya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kata Kon Yeow, di bawah bantuan itu juga, sebanyak RM300 diberikan kepada penyelia dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).

"Turut diberi bantuan sebanyak RM300 adalah guru tahfiz, pondok dan tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina Pulau Pinang.

"Dalam pada itu, BKKA ini turut dipanjangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun dan anak syarikat Kerajaan Pulau Pinang, tertakluk kepada keupayaan kewangan masing-masing," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!