Taska di pejabat solusi elak tragedi bayi mati

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SALAM takziah kepada keluarga yang baru sahaja kehilangan bayi lelaki mereka berusia tiga bulan ketika dalam jagaan pusat asuhan kanak-kanak di Setia Alam, Isnin lalu.

Tragedi yang sering berulang setiap tahun ini bagaikan satu mimpi ngeri untuk semua ibu bapa yang terpaksa menghantar anak-anak mereka ke taska demi mencari rezeki untuk keluarga.

Apatah lagi golongan ibu bekerja, setiap kali tamat tempoh berpantang dan mereka perlu kembali ke pejabat, hati mula dihambat gelisah mengenangkan nasib bayi yang perlu diserahkan ke tangan 'orang asing'.

Statistik yang menunjukkan sebanyak 677 pusat jagaan dan 1,239 taska tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Ogos 2022 adalah satu fakta yang agak menakutkan.

Menyerahkan bayi sendiri ke institusi tidak berdaftar bagaikan memperjudikan nasib anak yang tidak berdosa itu kerana apa sahaja boleh berlaku.

Lebih memburukkan keadaan, jika terjadi sebarang tragedi, ibu bapa tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kerana taska berkenaan tidak berdaftar dengan kerajaan.

Jadi, sangat penting untuk memilih taska yang berdaftar dengan JKM sahaja kerana institusi ini mewajibkan Kursus Asuhan Permata kepada semua pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuhnya.

Mereka perlu lulus kursus ini dalam tempoh 12 bulan bekerja dan ini menjadi jaminan kepada ibu bapa bahawa taska yang dijalankan mengikut prosedur betul selain pengasuh ada ilmu penjagaan anak-anak kecil.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di pihak majikan pula, sudah tiba masanya mereka mengambil serius hal ini dengan mewujudkan taska di premis demi melahirkan pekerja wanita yang lebih berdaya saing.

Lebih mudah bertemu anak-anak di waktu rehat, malah berpeluang menyusukan bayi sendiri.

Percaya atau tidak, kaum ibu berkerjaya ternyata lebih bermotivasi menjalankan tugas jika anak-anak berada di sekeliling!

Jadi, tidak perlulah beri cadangan menyuruh golongan ibu berhenti kerja dan jadi suri rumah sahaja.

Pada zaman ekonomi meruncing kini, sangat penting suami isteri saling membantu meningkatkan ekonomi keluarga demi kebaikan anak-anak juga.

Apa yang penting ialah mencari solusi bagaimana anak-anak kita dapat diasuh dengan selamat dengan pemantauan semua pihak.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28