Bayi tiga bulan maut pada hari pertama di pusat asuhan

Seorang bayi lelaki ditemui tidak sedarkan diri di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Setia Alam sebelum disahkan meninggal dunia. Gambar hiasan
Seorang bayi lelaki ditemui tidak sedarkan diri di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Setia Alam sebelum disahkan meninggal dunia. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia pada hari pertama dihantar ke sebuah pusat asuhan kanak-kanak dekat Setia Alam di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat bapa mangsa pada jam 2.31 petang.

"Siasatan mendapati mangsa dihantar kali pertama oleh bapanya ke pusat asuhan berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi sebelum dimaklumkan pengurus pusat berkenaan bahawa anaknya tidak sedarkan diri pada jam 10.30 pagi.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dijalankan," katanya.

Menurutnya, bedah siasat dijalankan antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang di Unit Forensik Hospital Shah Alam.

"Keputusan bedah siasat masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.

"Selain itu, pemeriksaan dijalankan terhadap mangsa turut mendapati tiada sebarang kecederaan luaran atau dalaman," katanya.

Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang justifikasi berkaitan dengan kes ini sebelum siasatan selesai.

"Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 011-21112824," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!