Sindiket judi online lumpuh, 16 warga China ditahan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KLUANG - Polis menumpaskan sindiket judi dalam talian dengan penahanan 17 warga China dan seorang rakyat tempatan dalam serbuan di dua rumah di Jalan Delima 7, Taman Delima, di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Yusof Ahmad berkata, serbuan di pusat panggilan itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, JSJ IPD Johor Bahru Utara dan JSJ IPD Kluang kira-kira 7.30 malam, selepas bertindak atas maklumat awam serta risikan.

“Kesemua yang ditahan melibatkan 15 lelaki dan dua wanita warganegara China serta seorang lelaki tempatan berumur 20 hingga 50 tahun. Lelaki tempatan itu dipercayai dalang yang menguruskan segala aktiviti dari rumah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Yusof berkata ketika serbuan, kesemua mereka sedang leka mengendali dan mempromosikan perjudian dalam talian di kedua-dua rumah berkenaan dengan menarik mangsa dalam kalangan warga China untuk bertaruh.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, sindiket itu dipercayai beroperasi kira-kira dua bulan lepas dan mampu menjalankan transaksi urus niaga sehingga RM200,000 sehari, manakala anggaran transaksi bulanan mencecah RM6 juta.

Pihaknya turut merampas sejumlah peralatan dipercayai digunakan bagi kegiatan berkenaan termasuk beberapa komputer riba dan telefon bimbit.

Katanya, siasatan turut mendapati kesemua rakyat China itu tinggal di kedua-dua rumah berkenaan yang disewa RM4,700 sebulan.

“Tiga daripada warga China itu didapati menggunakan pas lawatan sosial manakala selebihnya tidak mempunyai pasport. Polis sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap sindiket itu bagi mengenal pasti sekiranya masih ada suspek lain terlibat​,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. - Bernama