Sanusi kesal Saifuddin tidak adakan mesyuarat sejak setahun lalu

Muhammad Sanusi (kiri), Saifuddin Nasution
Muhammad Sanusi (kiri), Saifuddin Nasution
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa gagal mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah.

Sanusi mendakwa Saifuddin yang juga Pengerusi Bersama tidak memanggil mesyuarat lebih setahun bagi membincangkan projek infrastruktur kerajaan Persekutuan di Kedah dengan kerajaan negeri sejak majlis tersebut ditubuhkan.

Menurutnya, perkara itu tidak seharusnya berlarutan kerana ia berkait dengan peruntukan di bawah Persekutuan dan sebahagiannya terletak bawah kuasa negeri seperti tanah.

“Tak buat mesyuarat, saya tak sukalah. Mesyuarat itu penting untuk selaraskan antara agensi kerajaan negeri dan agensi Persekutuan di Kedah.

“Ini tanggungjawab masing masing, kerja sedang berjalan, ada fungsi bawah negeri sebab isu tanah dan ada fungsi Persekutuan berkaitan peruntukan, jadi kena selaraskan,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan pada Khamis.

Sanusi berkata, beliau telah mengemukakan kebimbangannya itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri baru-baru ini.

“Saya cadangkan jika Saifuddin sibuk dengan urusan kementerian, beliau sepatutnya wakilkan Menteri Kabinet lain untuk hadiri mesyuarat tersebut.

“Kalau sibuk sangat, ganti dengan orang lain sebab kuasa panggil mesyuarat ada pada beliau, bukan dekat saya walaupun pengerusi bersama. Mereka datang Kedah pun tak bagi tahu. Saya rasa benda ini tak boleh berlarutan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, kerajaan Persekutuan dilaporkan akan menjalankan analisis menyeluruh berhubung faktor yang menyebabkan kelewatan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah sebelum mempertimbangkan dana tambahan, seperti dicadangkan kerajaan negeri.

Saifuddin berkata, beliau berhasrat membincangkan perkara itu dalam pertemuan dengan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri negeri sebelum membuat sebarang keputusan.