China berminat dasar pengecualian visa kekal bersama Malaysia
KUALA LUMPUR - China dan Malaysia sedang giat berusaha ke arah dasar pengecualian visa timbal balik secara kekal, menurut Menteri Kedutaan China di Malaysia, Zheng Xuefang.
Langkah pengecualian visa timbal balik antara China dan Malaysia telah membantu mempromosikan pelancongan dan pertukaran sesama rakyat.
Zheng berkata demikian dalam pertemuan dengan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai semasa kunjungan hormatnya ke agensi berita itu, di sini pada Rabu.
Disember lepas, kerajaan Malaysia dan China mengumumkan pelaksanaan pengecualian visa bersama untuk rakyat kedua-dua negara selama setahun untuk mempromosikan lagi pelancongan, perdagangan dan pertukaran budaya.
Malaysia telah menjadi destinasi popular bagi pelancong China selama bertahun-tahun.
Zheng juga menekankan pencapaian kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara sambil menyatakan bahawa pada permulaan hubungan diplomatik, jumlah dagangan dua hala hanya berjumlah AS$200 juta.
Pada tahun 2002, jumlah itu melebihi AS$10 bilion dan tahun lepas, ia mencecah AS$190.24 bilion, menjadikan China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28