Tiada sebab Bersatu Terengganu perlu alih sokongan

Badrolhisham
Badrolhisham
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiada sebab bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sedangkan kerajaan negeri sedia ada kukuh tanpa kehadiran pembangkang selepas menyapu bersih 32 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Ketua Bahagian Bersatu Kuala Terengganu, Badrolhisham Mohd Shafie menegaskan tidak akan berlaku perubahan sokongan daripada wakil rakyat dari Bersatu Terengganu berikutan parti itu merupakan sebahagian komponen dalam kerajaan negeri.

"Atas alasan apa nak sokong (Kerajaan Perpaduan)? tak ada sebab Bersatu Terengganu nak alih sokongan.

"Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Bersatu merupakan sebahagian dalam kerajaan negeri.

"Tak kan kami nak jadi pembangkang, jadi tak logik nak tukar sokongan. Kami tetap bersama seratus peratus dengan kerajaan negeri sekarang ini dan kekal beri sokongan sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Khamis.

Badrolhisham yang juga Ketua Penerangan Bersatu Terengganu berkata, kerjasama antara Bersatu dan Pas di negeri ini kekal terjalin dengan baik.

"Tidak timbul ura-ura nak alih sokongan dan tak ada isu libatkan antara Pas dengan Bersatu.

"Kerjasama wujud tetap berjalan baik dan tak ada apa-apa isu menyebabkan kita mahu tukar sokongan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Bersatu menafikan dakwaan lima ADUN Bersatu-Perikatan Nasional (PN) di Selangor isytihar alih sokongan kepada kerajaan negeri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin ketika dihubungi berkata, laporan disiarkan portal pro Pakatan Harapan itu hanya sekadar persepsi mereka sendiri.

Sebelum ini, menurut sumber seperti dilaporkan portal pro PH pada Rabu, kumpulan tersebut akan diketuai oleh seorang bekas Pengerusi Bersatu Selangor.

Menurut portal itu lagi, semakan menunjukkan bekas pengerusi Bersatu Selangor yang merupakan seorang ADUN ialah Datuk Abdul Rashid Asari iaitu ADUN Selat Klang.

Menurut satu lagi sumber, baki empat ADUN yang akan turut menyokong ialah ADUN Jeram, Datuk Harrison Hassan; ADUN Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani; ADUN Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad dan ADUN Dengkil, Jamil Salleh.

Wakil keenam Bersatu yang turut dikatakan akan menyokong Amiruddin ialah ADUN Morib, Rosnizan Ahmad namun beliau dikatakan belum membuat ketetapan.

Bagaimanapun, ADUN Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh menafikan dakwaan dirinya antara lima individu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)-Perikatan Nasional (PN) di Selangor yang mengisytiharkan beralih sokongan kepada kerajaan negeri.

Jamil berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan tuduhan bakal membelakangkan pendirian parti dengan menyokong Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari adalah berniat jahat untuk merobek kekuatan PN yang konsisten membela nasib rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!