UMNO sedia dedah maklumat Tabung Solidariti Najib - Ahamd Zahid

TANGGA BATU - UMNO sedia mendedahkan sebarang maklumat berhubung kutipan Tabung Solidariti RM50 juta bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di rumahnya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tabung yang dibuka oleh Ibu Pejabat UMNO itu sudah ditutup selepas berjaya mencapai sasaran kutipan RM50 juta.
Menurutnya, kutipan berkenaan dilaksanakan menerusi sumbangan dana awam yang bukan sahaja membabitkan ahli UMNO, malah orang ramai.
"Kita sedia untuk membuka semua maklumat terperinci hasil kutipan itu memandangkan telah mendapat garis panduan daripada pihak berwajib.
"Kita ikuti sepenuhnya garis panduan berkenaan dan wang itu disalurkan setelah ia dimasukkan di dalam akaun yang diamanahkan ke Ibu Pejabat UMNO Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Anggota KEMAS Negeri Melaka, di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan isu kutipan Tabung Solidariti Najib Razak yang meningkat daripada RM9.25 juta kepada RM50 juta dalam tempoh 40 hari menimbulkan persoalan mengenai ketelusan sumber dana serta mekanisme pemantauan sumbangan politik di negara ini.
Peningkatan kutipan tersebut mencetuskan desakan daripada beberapa pihak supaya siasatan dijalankan bagi memastikan sumber wang yang diterima tidak melibatkan unsur rasuah, pengubahan wang haram atau kepentingan tertentu.
Antara yang membangkitkan isu itu ialah Datuk A Kadir Jasin yang berpandangan kutipan berjumlah puluhan juta ringgit dalam tempoh singkat memerlukan penjelasan yang lebih terperinci.
Beliau turut mempersoalkan kemungkinan sumbangan besar tersebut mempunyai kaitan dengan pihak yang mempunyai kepentingan perniagaan atau konsesi dengan kerajaan.
Justeru, beliau menggesa agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) meneliti aliran dana berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mahu sebarang taktik melengah-lengahkan digunakan terhadap pelaksanaan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib oleh Yang Dipertuan Agong selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.
"Jadi di dalam perkara itu, saya fikir pendirian kita, kita tidak mahu ada 'delay tactic' yang dilakukan untuk melengah-lengahkan pelaksanaan kepada pengampunan yang telah diberikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan, dan perkara itu termaktub di dalam Perkara 42 dalam Perlembagaan Persekutuan,"ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

