Bersatu Selangor retak menanti belah - Najwan

Mohd Najwan
Mohd Najwan
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi menyifatkan kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor seperti retak menanti belah.

Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, Bersatu ternyata adalah 'the weakest link' dalam gabungan Perikatan Nasional.

"Selepas enam ahli Parlimen mereka umum sokongan kepada Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan, kini ADUN mereka di Selangor pula melakukan tindakan sama.

"Pengumuman ADUN Selat Klang yang secara terbuka menzahirkan sokongan kepada kepimpinan (Menteri Besar) Datuk Seri Amirudin Shari membuktikan Bersatu di Selangor mulai berpecah dan semakin melemah," katanya dalam satu hantaran di aplikasi X pada Rabu malam.

Mohd Najwan turut menyifatkan Bersatu pada hakikatnya sekadar bergantung nyawa dengan kekuatan Pas untuk hidup.

Pada Rabu, bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar.

Menurut ADUN Selat Klang itu, keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama.

Ujarnya dalam kenyataan sama, keputusan ini dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah beliau meneliti titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang memuji pentadbiran kerajaan Selangor berada di landasan tepat, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Berikutan kenyataan itu, empat lagi ADUN Perikatan Nasional didakwa akan mengikuti langkah Abdul Rashid, namun perkara itu dinafikan Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali termasuk empat ADUN terbabit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28