Perhilitan kesan helah terbaharu sindiket pemerdagangan binatang liar

Antara warga asing yang pernah ditahan Perhilitan menerusi pelbagai operasi jenayah pemburuan haram di dalam negara. Foto: Perhilitan (Gambar kecil: Abdul Kadir)
Antara warga asing yang pernah ditahan Perhilitan menerusi pelbagai operasi jenayah pemburuan haram di dalam negara. Foto: Perhilitan (Gambar kecil: Abdul Kadir)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya mengesan taktik terbaharu sindiket pemerdagangan binatang liar yang tidak menggunakan kata kunci sebenar produk yang dijual menerusi platform jualan dalam talian bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, modus operandi penawaran di 'market place' dilihat semakin berevolusi apabila mereka kini menukar kata kunci produk dijual dengan perkataan yang bercampur simbol atau tanda baca

Menurutnya, penjenayah tidak lagi meletakkan kata kunci nama barangan secara langsung seperti 'taring babi' sebaliknya menukarnya kepada 't@r!ng b@B!' bagi mengelakkan perlakuan mereka dihidu pihak berkuasa.

"Taktik baharu ini sangat licik sekali gus menyukarkan pihak berkuasa dan juga pihak 'market place' mengesan perbuatan mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, selain itu, Perhilitan juga mengesan aktiviti pemburuan haram dalam kalangan warga tempatan yang menyalahgunakan permit atau lesen sah memburu hidupan liar bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Khemah haram yang didirikan pemburu haram dikesan Perhilitan menerusi siri operasi di seluruh negara. Foto: Perhilitan (Gambar kecil: Antara senjata yang dirampas Perhilitan sepanjang operasi jenayah pemburuan haram. Foto: Perhilitan)
Khemah haram yang didirikan pemburu haram dikesan Perhilitan menerusi siri operasi di seluruh negara. Foto: Perhilitan (Gambar kecil: Antara senjata yang dirampas Perhilitan sepanjang operasi jenayah pemburuan haram. Foto: Perhilitan)

Abdul Kadir berkata, mereka ini juga didapati bertindak sebagai tonto yang memberi isyarat dan maklumat kepada penjenayah haram semasa pihak berkuasa menjalankan rondaan.

Tegasnya, dalam usaha banteras jenayah ini, Perhilitan terus melaksanakan tindakan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) dan lain-lain agensi berkaitan serta turut melibatkan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

"Perhilitan juga akan memperkukuh perisikan dan penguatkuasaan selain telah menubuhkan pasukan 'flying squad' iaitu Unit Jenayah Hidupan Liar (WCU) yang bertindak secara responsif terhadap maklumat yang telah dianalisa," katanya.

Antara warga asing yang pernah ditahan Perhilitan menerusi pelbagai operasi jenayah pemburuan haram di dalam negara. Foto: Perhilitan
Antara warga asing yang pernah ditahan Perhilitan menerusi pelbagai operasi jenayah pemburuan haram di dalam negara. Foto: Perhilitan

Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata, pada tahun lalu, terdapat 3,024 kes dilaporkan membabitkan penyimpanan, pencerobohan, perniagaan, penyeludupan, pemburuan serta zoo dan pameran.

"Sebanyak 44 seksyen di bawah pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Pindaan) 2022 (Akta A1646) telah dikuatkuasakan bermula pada 1 Februari 2023 di mana penalti bagi kesalahan membabitkan hidupan liar, termasuk menyimpan, memburu dan menyeludup telah ditingkatkan," ujarnya.

Tambahnya, selain tindakan jabatan melalui kempen kesedaran awam dan pendidikan konservasi, pihaknya turut bekerjasama di peringkat antarabangsa antaranya melalui ASEAN-Jaringan Penguatkuasaan Hidupan Liar (ASIAN-WEN), Pusat Pencegahan Anti-Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Polis Antarabangsa (INTERPOL).

Untuk info, Hari Hidupan Liar Sedunia disambut pada 3 Mac setiap tahun.