KKM sahkan tiga kes polio di Sabah

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terkini tiga kes dijangkiti virus polio di Sabah selepas World Health Organization Polio Regional Reference Laboratory (WHO Polio RRL) Australia mengesahkan terdapat dua lagi kes baharu didapati positif virus itu semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes baharu itu dikesan selepas KKM mempergiatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan susulan kes jangkitan pertama yang berlaku pada Disember tahun lalu ke atas seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah.

Menurutnya, dua kes baharu itu pula melibatkan dua kanak-kanak lelaki bukan warganegara, masing-masing berusia lapan dan 11 tahun.

"Kanak-kanak berusia lapan tahun terbabit menetap di Sandakan, Sabah dan tidak pernah menerima sebarang imunisasi. Pada 9 Disember 2019, dia mengalami demam dan tiga hari kemudian tidak boleh berjalan.

"Dia masih dirawat dengan bantuan pernafasan di hospital, manakala seorang lagi kanak-kanak berusia 11 tahun yang menetap di Kinabatangan, Sabah juga tidak pernah mendapat sebarang imunisasi dan mengalami demam pada 17 November 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: Virus polio mungkin datang dari luar: Dr Dzulkefly

"Pada 1 Disember 2019, dia dimasukkan ke hospital setelah mengadu sakit di bahagian belakang selain tidak boleh berjalan. Kini, pesakit dilaporkan sudah boleh berjalan dengan menggunakan tongkat," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, susulan itu, KKM menghantar sampel najis bagi kedua-dua pesakit ke WHO Polio RRL di Melbourne, Australia untuk ujian pengesahan dan 'genetic sequencing' sebelum keputusan rasmi diperoleh semalam.

"Dengan pengesahan dua kes polio baharu ini, jumlah kes polio yang disahkan adalah sebanyak tiga kes dan kesemua pesakit masih dirawat di hospital serta dilaporkan stabil.

Artikel Berkaitan:

"Ujian makmal WHO Polio RRL di Australia juga mendapati bahawa virus polio yang menjangkiti ketiga-tiga kes ini mempunyai perkaitan genetik dengan kes polio di Filipina," katanya.

Noor Hisham berkata, siasatan rapi telah dijalankan bagi mengenalpasti punca jangkitan kedua-dua kes baharu itu sebaik sahaja dikenalpasti sebagai acute flaccid paralysis (AFP).

Katanya, sehingga kini, seramai 705 penduduk di kawasan tempat tinggal kedua-dua kanak-kanak berkenaan juga diperiksa dan tiada kes AFP lain yang dikesan.

"Seramai 65 orang kanak-kanak didapati cicir imunisasi polio dalam kawasan tempat tinggal kes-kes terbabit sudah diberi suntikan vaksin polio menggunakan vaksin kombinasi lima serangkai (DTaP-IPV//HiB).

"Selain itu, aktiviti kawalan wabak polio di seluruh negeri Sabah juga sedang giat dilaksanakan termasuk Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS 2019/2020) yang menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di seluruh Sabah telah dimulakan pada 27 Disember 2019, di mana mereka diberikan dua dos vaksin polio secara titis (oral polio vaccine–OPV)," katanya.

Menurutnya, vaksin itu akan membina imuniti dalam usus untuk membunuh virus polio sekiranya kanak-kanak tersebut dijangkiti, sekaligus memastikan ia tidak terus menular dalam komuniti.

Selain itu katanya, Mesyuarat Penyelarasan Wabak Polio di Sabah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Disember tahun lalu memutuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM membentuk sebuah Jawatankuasa Kerja Peringkat Pusat dan Jawatankuasa Kerja Peringkat Negeri bagi menangani wabak polio ini.

"Mesyuarat juga bersetuju agar kerjasama rentas sempadan seperti dengan Kementerian Kesihatan negara Filipina dan kolaborasi dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Children’s Fund, UNICEF) terus diperkukuhkan bagi memastikan liputan imunisasi kepada kanak-kanak Filipina yang berada di Sabah dapat dipertingkatkan," katanya.