Pelan 10 tahun bumiputera lebih 'segar, inklusif’ dilancar pada Jun - Rafizi

Rafizi ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Rafizi ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melancarkan pelan jangka panjang bumiputera untuk tempoh 10 tahun akan datang yang lebih ‘segar dan inklusif’ pada Jun depan dalam usaha melonjakkan sosioekonomi bumiputera menerusi pelbagai bidang dan sektor.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, input, cadangan dan pandangan hasil Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 akan dicerakinkan dan diterjemahkan ke dalam hala tuju baharu pemerkasaan bumiputera ini.

"Kerajaan akan memberi fokus kepada usaha pemerkasaan dan pemerkasaan golongan kelas pertengahan bumiputera yang mampu mencipta nilai kepada ekonomi.

"(Supaya) beralih daripada sekarang...makan gaji kepada mencipta nilai agar lebih banyak penyertaan kelas menengah bumiputera dalam perniagaan dan meningkatkan pendapatan berbanding hanya bergantung harap pada pekerjaan bergaji sahaja,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai hala tuju dan pendekatan baharu yang sedang dirangka hasil daripada KEB 2024 bagi melonjakkan lagi tahap sosioekonomi golongan berkenaan supaya terus berdaya saing.

Rafizi berkata, golongan kelas pertengahan bumiputera menghasilkan profesional berpengalaman tinggi, bagaimanapun ketinggalan dalam mencipta nilai yang tidak setara berbanding dengan profesional bukan Bumiputera di dalam negara dan juga golongan kelas pertengahan di luar negara.

"Fokus ini bermakna...kita akan galakkan lebih ramai profesional, maka kita perlu juga beralih dari segi mobilisasi kapital yang bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata.

"Sebab itu, bagi pendapat saya, tumpuan kita perlu beralih dalam mewujudkan dasar yang bukan (fokus) semata-mata kepada agensi atau pendanaan yang besar daripada kerajaan seperti mana golongan bukan bumiputera ataupun golongan kelas menengah di negara-negara lain akan terus membiayai penciptaan nilai menerusi perusahaan-perusahaan baharu bersama-sama kelas menengah...perkara ini dilakukan melalui fungsi swasta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pendanaan melalui usaha ekuiti persendirian atau modal teroka membolehkan meningkatkan penskalaan perniagaan bumiputera.

Justeru, beliau berkata tumpuan kerajaan akan lebih kepada membina ekosistem dari segi undang-undang, insentif, percukaian, pembinaan bakat pelaburan dalam kalangan golongan menengah.

"Kerajaan melalui kerangka Ekonomi Madani mengenal pasti enjin-enjin pertumbuhan baharu termasuk peralihan tenaga, digital, pertanian moden, serta sektor elektrik dan elektronik yang lebih maju.

"Sudah tentu apabila kerajaan meletakkan fungsi-fungsi ini, ia akan bermula dengan (merapatkan) jurang terutama antara usahawan dan profesional bumiputera dan program khusus yang melibatkan golongan ini membiasakan usaha dengan potensi yang ada dan untuk menggalakkan mereka mengambil risiko menyertai sektor yang begini...ini akan diperhalusi seperti sebahagian dapatan-dapatan yang telah dibincangkan di KEB 2024,” katanya.

Usaha berterusan ini dilihat dapat memperkukuhkan daya saing golongan berkenaan dengan tumpuan juga diberi pada penskalaan bakat, peningkatan pendapatan dalam usaha menokhtahkan (menghapuskan) kemiskinan tegar.

Beliau berkata, kadar kemiskinan bumiputera berada pada tahap 7.9 peratus, diikuti kaum India (5.4 peratus) dan Cina (1.9 peratus) pada 2022.

Pengangguran dalam kalangan bumiputera juga adalah yang paling tinggi pada 387,800 orang, 61.5 peratus daripada keseluruhan 630,400 orang penganggur.

Sasaran pemilikan ekuiti korporat 30 peratus juga masih belum tercapai dengan kadar 18.4 peratus pada pada 2020 berbanding bukan bumiputera pada 29.5 peratus. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28