Ibu saudara galas tanggungjawab jaga lapan beradik yatim piatu

Ismail Sabri bergambar bersama enam daripada lapan beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 di Hulu Selangor pada Rabu.
Ismail Sabri bergambar bersama enam daripada lapan beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 di Hulu Selangor pada Rabu.
A
A
A

HULU SELANGOR - Ibu saudara kepada lapan beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 pada 2021 tekad memikul amanah dan tanggungjawab itu sehingga akhir hayat.

Siti Fauziah Bernie, 46, berkata, walaupun tiada pendapatan tetap, namun tidak pernah membataskannya menjaga lapan beradik itu.

"Selepas ibu bapa mereka meninggal dunia tiga tahun lalu, hanya saya menjadi tempat mereka bergantung dan menumpang kasih.

"Saya tekad berhenti kerja dan mengambil alih menguruskan keperluan agar mereka tidak berasa tersisih," katanya ketika ditemui pada penyampaian bantuan persekolahan dan bantuan menara gading yang disumbangkan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir menyerahkan bantuan kepada lapan beradik itu di kediaman mereka di Taman Adenium, Bukit Beruntung pada Rabu.

Ismail Sabri (tengah) menyampaikan bantuan persekolahan dan bantuan menara gading kepada Nazurah Nabilah (kiri).
Ismail Sabri (tengah) menyampaikan bantuan persekolahan dan bantuan menara gading kepada Nazurah Nabilah (kiri).

Wanita berstatus bujang itu memberitahu, hubungan dengan lapan anak saudaranya rapat kerana pernah menetap bersama abangnya yang juga bapa mereka selama 23 tahun.

"Sebelum ini, saya menumpang di rumah mereka, kini tiba giliran saya pula membalas jasa dengan menjaga amanah ini dengan sebaiknya.

Artikel Berkaitan:

"Biarlah saya susah macam mana pun, asalkan mereka bahagia dan paling penting saya sering berdoa untuk melihat kejayaan anak saudara saya suatu hari nanti," ujar Siti Fauziah.

Terdahulu, Ismail Sabri meluangkan masa lebih sejam menziarahi lapan beradik berkenaan.

Bapa kepada lapan beradik itu, Benyajeed Bernie meninggal dunia pada 16 Julai 2021, manakala isterinya, Noraini Ibrahim meninggal dunia dua hari kemudian akibat Covid-19.

Lapan beradik tersebut ialah Nazurah Nabilah, 22, Muhamad Muzakkir, 21, Nurhani Nabilah, 19, Nurnasuhah Nabilah, 17, Muhammad Benjamin, 16, Muhammad Bennazir Sulaiman, 13, Nur Rawdah Nabilah, 11, dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 7 tahun.

Pertama kali Ismail Sabri melawat lapan beradik yatim piatu itu ialah selepas ibu bapa mereka meninggal dunia pada 2021.

Sejak itu, Ismail Sabri menyantuni anak-anak itu pada setiap kali Ramadan dan Aidilfitri.

Ismail Sabri memberitahu, YKM ditubuhkan pada 2021 sempena 100 hari Pelancaran Keluarga Malaysia sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

"Kita wujudkan YKM ini untuk membantu anak yatim dan yatim piatu yang ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Ujar beliau, seramai 589 anak-anak yang belajar di peringkat prasekolah bermula usia enam tahun sehingga mahasiswa ijazah pertama di institut pengajian tinggi menerima bantuan sebanyak RM300 setiap seorang.

Menurut Ismail Sabri, sumbangan itu telah dimasukkan ke dalam akaun bank penerima bermula pada Selasa membabitkan peruntukan sebanyak RM176,700.

"Anak-anak yang layak menerima bantuan ini dimaklumkan melalui WhatsApp dan surat yang diposkan ke alamat rumah masing-masing.

"Seperti mana yang telah kita janjikan dulu, mereka yang terdiri dalam kalangan anak-anak golongan B40 akan dibantu sehingga mereka tamat pengajian universiti.

"Bagaimanapun, sekiranya mereka tidak meneruskan pelajaran, bantuan mereka akan ditamatkan apabila usia mereka 18 tahun," jelas beliau.

Ismail Sabri berkata, selain dua bantuan itu, YKM akan terus menyalurkan bantuan-bantuan lain dan mengadakan program khusus untuk memastikan anak-anak terus terbela.

Ismail Sabri turut meluangkan bersama-sama menjamu selera ketika melawat lapan beradik yatim piatu di Hulu Selangor pada Rabu.
Ismail Sabri turut meluangkan bersama-sama menjamu selera ketika melawat lapan beradik yatim piatu di Hulu Selangor pada Rabu.

"YKM telah mengumpulkan lebih 5,000 data anak-anak yang kehilangan insan tersayang dan tumpuan kita memberi bantuan secara one-off bagi meringankan beban mereka menyambut Aidilfitri.

"Kita jangka bantuan kewangan ini dapat dimasukkan ke dalam akaun mereka pada pertengahan Ramadan tidak lama lagi," katanya.

Sehubungan itu, beliau juga berharap syarikat korporat dapat menyumbang melalui YKM supaya lebih banyak sumbangan dapat diberikan kepada golongan memerlukan.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana menyambung apa yang telah saya ilhamkan dan terus membantu dari segi kewangan," katanya.

Sementara itu, Nazurah Nabilah menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan serta bantuan YKM.

Nazurah Nabilah
Nazurah Nabilah

Menurut anak sulung daripada lapan beradik itu, dia terkejut apabila dimaklumkan Ismail Sabri berhasrat menziarahi mereka sekeluarga dan menyampaikan sumbangan.

"Saya rasa terharu, gembira dan berterima kasih atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan.

"Kami bertuah kerana ini kali kedua beliau (Ismail Sabri) berkunjung ke rumah dan prihatin dengan kebajikan kami sekeluarga," katanya.