Menjaga anak yatim ibarat bersama Rasulullah di syurga

Laporan Sinar Harian pada Ahad lalu.
Laporan Sinar Harian pada Ahad lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang mengambil tanggungjawab untuk menjaga anak yatim akan mendapat ganjaran dan pahala yang besar.

Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, perkara itu menggambarkan besar dan mulianya apabila memelihara anak-anak yang kematian kedua ibu bapa.

“Menurut Riwayat Ahmad, “Barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.”

“Mengikut riwayat itu lagi, “Dan barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana ALLAH SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap”, katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang murid Tahun 3, Attar Azim Syukran Jami menjadi yatim piatu dalam sekelip mata susulan kemalangan yang mengorbankan ibu bapa dan dua adiknya di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kampung Pahi, Kuala Krai, Kelantan pada Sabtu.

Dalam pada itu, abang kepada bapanya, Nor Azam Ab Hamid, 45, mengakui akan menggalas tanggungjawab menjaga kanak-kanak berkenaan sebaik mungkin.

Tambah Abdul Rahman, turutan waris yang bertanggungjawab menjaga dan memelihara anak yatim piatu itu sepatutnya adik-beradik dan waris yang paling dekat.

“Jika tiada, datuk sebelah ibu mahupun ayah, bapa saudara sebelah ibu, bapa saudara sebelah ayah dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Hubungan dengan anak yatim ini bukan hanya sekadar memberi makan, minum atau pakaian, tetapi juga layanan perasaan dengan mencampuri mereka penuh rasa cinta dan kasih sayang sebagaimana hubungan dengan adik beradik,” katanya.

Jelas beliau, umat Islam wajib memperbaiki keadaan mereka dengan memberikan pendidikan, sokongan moral dan menguruskan harta kekayaan si mati (jika ada).

Katanya, sebagai masyarakat yang penyayang, perlulah berbuat baik kepada mereka dan tidak sesekali mengambil kesempatan bagi menjana kesenangan atau kekayaan peribadi atas nama anak yatim.

“Banyak hikmah dan kebaikan apabila anak yatim itu dijaga dengan baik antaranya ALLAH akan memberi rahmat, kasih sayang-Nya kepada kita dan keluarga serta dapat merasakan ketenangan serta kebahagiaan yang sukar untuk diungkapkan,” ujar Abdul Rahman.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!