[VIDEO] 'Dah tak boleh peluk, tunggu Attar dekat syurga tau'

A
A
A

TANJUNG MALIM - "Abah, umi, adik tunggu Attar dekat syurga tau," kata Attar Azim Syukran Jamil, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas mengorbankan empat ahli keluarganya di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, Kelantan pada Sabtu.

Kata-kata itu diluahkan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu semasa pengebumian ibu, bapa dan dua adiknya di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara dekat Sungkai di sini, malam tadi.

Dalam linangan air mata, Attar Azim ketika ditemui berkata, selepas ini dia tidak dapat lagi merasakan pelukan kasih dan sayang daripada ibu bapa dan adik-beradiknya.

Attar Azim mengaminkan bacaan doa semasa proses pengebumian empat ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara dekat Sungkai, malam tadi.
Attar Azim mengaminkan bacaan doa semasa proses pengebumian empat ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara dekat Sungkai, malam tadi.

"Dah tak boleh peluk dah sebab semua keluarga Attar dah pergi alam lain.

"Attar kata dekat keluarga, tunggu Attar, nanti kita jumpa pula tau dekat syurga," katanya.

Attar Azim mengaminkan bacaan doa semasa proses pengebumian empat ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara dekat Sungkai, malam tadi.
Attar Azim mengaminkan bacaan doa semasa proses pengebumian empat ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara dekat Sungkai, malam tadi.

Murid Tahun Tiga itu berkata, arwah ibu dan bapanya selalu menitipkan pesanan agar dia menjadi seorang anak yang taat dan tahu menghormati orang lain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sempena Ramadan bakal tiba ini, bapanya ada mengingatkannya agar memperbanyakkan amalan kebaikan dengan berpuasa dan berdoa.

"Abah kata puasa tu best ada banyak pahala, tetapi kena doa banyak-banyak. Ada orang yang tak dapat nak puasa, jadi mereka tak dapat la kumpul pahala.

"Umi pula kata kalau belajar pandai, tapi tak hormat ibu bapa pun tak guna," katanya.

Jenazah Syukran Jamil Ab Hamid dan isteri, Noor Aishah Razali masing-masing berusia 35 tahun bersama dua anak mereka, Ahya Rafiqi, 6, dan Lufya Adeena berusia setahun selamat dikebumikan dalam satu liang lahad sekitar jam 11 malam pada Ahad.

Tiga van yang membawa semua jenazah tiba dari Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai di kediaman keluarga di Felda Trolak Utara sekitar jam 9.30 malam untuk diberi penghormatan terakhir oleh lebih 500 ahli keluarga dan kenalan yang hadir.

Attar Azim (tengah) merenung sayu pusara empat ahli keluarganya yang terkorban.
Attar Azim (tengah) merenung sayu pusara empat ahli keluarganya yang terkorban.

Dalam kejadian jam 1.40 petang itu, Syukran Jamil bersama Noor Aishah dan Lufya Adeena disahkan terkorban di lokasi kejadian, manakala Ahya Rafiqi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Attar Azim yang turut terlibat dalam kejadian itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi dipandu Syukran Jamil dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang bertembung dengan sebuah Nissan March dipandu warga Thailand yang masuk ke laluan dari arah bertentangan.

Kesemua mereka semasa kejadian dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi ahli keluarga dan bercuti di Kota Bharu, Kelantan.