Naik taraf fasiliti penting majukan Besut

Mohd Nurkhuzaini (kiri) bertemu ahli Besutmaju dalam Mesyuarat Town Hall Bersama MP Dan ADUN Besut pada Selasa
Mohd Nurkhuzaini (kiri) bertemu ahli Besutmaju dalam Mesyuarat Town Hall Bersama MP Dan ADUN Besut pada Selasa
A
A
A

BESUT - Pertubuhan Besutmaju menuntut kerajaan negeri meningkatkan fasiliti utama di daerah itu termasuk dalam industri pelancongan, kesihatan, pendidikan dan perikanan.

Melalui Mesyuarat Town Hall Bersama MP Dan ADUN Besut pada Selasa, tiga ahli panel daripada pertubuhan berkenaan iaitu Jeneral (B) Tan Sri Rodzali Daud, Setiausaha Besutmaju, Jamil Hamzah dan Naib Pengerusi 1 Besutmaju, Datuk Muhammad Nasir Hamzah turut menyenaraikan beberapa perkara penting yang perlu ditingkatkan untuk kemajuan daerah itu.

Rodzali berkata, tiga bandar utama yang perlu diambil perhatian iaitu Jerteh, Kuala Besut dan Kampung Raja yang menjadi sebahagian daripada laluan penting ke Kelantan.

Beliau turut mengemukakan isu kesesakan lalu lintas terutama pada musim perayaan.

"Antara fasiliti penting ialah pembinaan 'flyover' yang boleh mengatasi kesesakan di Jerteh iaitu laluan utama ke Kelantan," katanya.

Beliau juga menyarankan industri perikanan ditingkatkan daripada kaedah tradisional di kampung kepada lebih profesional dan diurus untuk pasaran antarabangsa.

"Produk keropok juga perlu diperbesarkan dengan jenama istimewa dari daerah Besut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Nasir (dua dari kanan) bersama Mohd Nurkhuzaini (empat dari kiri) pada Mesyuarat Town Hall Bersama MP Dan ADUN Besut pada Selasa,
Muhammad Nasir (dua dari kanan) bersama Mohd Nurkhuzaini (empat dari kiri) pada Mesyuarat Town Hall Bersama MP Dan ADUN Besut pada Selasa,

Bagaimanapun tambah beliau, kesemua itu sudah dicadangkan melalui senarai 18 projek berimpak tinggi Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Besut 2035.

Moderator kepada pembentangan berkenaan ialah Naib Candelor Asia Metropolitan, Seri Alam, Johor, Prof Dr Mohd Khan Jamal Khan.

Pengerusi pertubuhan berkenaan, Mohd Nawawi Ismail pula berkata, town hall itu bertujuan menzahirkan kepada pucuk pimpinan untuk melihat Besut dimajukan dengan sempurna dan mempunyai infrastruktur yang baik.

"Kita percaya usaha untuk membangunkan daerah ini bukan hanya tanggungjawab wakil rakyat sahaja.

"Rakyat juga perlu memberi cadangan kepada pemimpin mengenai keperluan mendesak mereka," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Jelas beliau, Besut tidak harus ketinggalan berdasarkan perubahan masa dan perkembangan di daerah lain.

Sementara itu, Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman mengalu-alukan kerjasama Pertubuhan Besutmaju untuk menyediakan pakej kepada pelancong dan memanfaatkan alam semulajadi di daerah itu.

"Besut mempunyai banyak anugerah alam seperti sungai, air terjun, kolam air panas, tasik dan pantai. Kita berharap akan ada kerjasama bagi memajukan pelancongan di daerah ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!