Himpunan Hari Wanita: Polis nafi tolak notis pemakluman empat kali

Sebelum ini Maria Chin berkata, pihaknya prihatin mendengar berita bahawa polis tidak mahu menerima notis penganjur himpunan Hari Wanita 'Women March Malaysia 2024'. Gambar kecil: Allaudeen
Sebelum ini Maria Chin berkata, pihaknya prihatin mendengar berita bahawa polis tidak mahu menerima notis penganjur himpunan Hari Wanita 'Women March Malaysia 2024'. Gambar kecil: Allaudeen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menafikan dakwaan pihaknya menolak notis pemakluman penganjuran Himpunan Hari Wanita (WMMY) yang dijadualkan Sabtu ini sebanyak empat kali.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, penganjur menghantar satu notis pemakluman kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi Jumaat lalu, namun ia dikembalikan selepas 14 perkara yang harus dinyatakan oleh penganjur tidak lengkap.

"Berdasarkan notis pemakluman yang dihantar Jumaat lalu, penganjur hanya memberi sembilan daripada14 soalan yang harus dilengkapkan dalam notis pemakluman untuk menganjurkan perhimpunan," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Selasa.

Allaudeen berkata, pihaknya juga sudah menyemak dan polis tidak menerima tiga lagi notis pemakluman seperti yang didakwa oleh penganjur.

"Bagaimanapun kita sudah memanggil mereka bagi melengkapkan notis pemakluman sebelum menyerahkannya kepada polis," katanya.

Allaudeen berkata, pihaknya tidak menghalang sebarang penganjuran perhimpunan kerana perkara itu terkandung dalam hak rakyat untuk berhimpun.

"Notis pemakluman penting bagi polis mendapatkan segala maklumat berhubung penganjuran perhimpunan," katanya.

Allaudeen berkata, pihaknya tetap akan membantu menyediakan kawalan keselamatan termasuk kawalan lalu-lintas untuk perhimpunan berkenaan meskipun penganjur gagal untuk melengkapkan notis pemakluman.

Artikel Berkaitan:

"Setiap rakyat Malaysia mempunyai hak bukan hanya penganjur dan peserta perhimpunan malah orang ramai yang lain seperti mereka yang berniaga, beriadah dan melaksanakan aktiviti-aktiviti harian yang lain," ujarnya.

Allaudeen berkata, polis akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara dan tidak mahu sebarang aktiviti perhimpunan mengganggu hak masyarakat.

"Sebarang kesalahan yang dilakukan boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!