Perkasa TVET dengan penglibatan sektor awam, swasta

Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam negara perlu diperkasakan dengan penglibatan serta kerjasama daripada sektor awam dan swasta secara lebih aktif.Gambar hiasan
Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam negara perlu diperkasakan dengan penglibatan serta kerjasama daripada sektor awam dan swasta secara lebih aktif.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam negara perlu diperkasakan dengan penglibatan serta kerjasama daripada sektor awam dan swasta secara lebih aktif.

Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P Sri Ganes berkata, kerjasama itu bukan sahaja dapat menaik taraf institusi pendidikan TVET, malah berupaya menyediakan peluang lebih besar kepada pelajar meningkatkan keupayaan dalam bidang baharu.

Kata beliau, pelajar boleh mengikuti kursus-kursus baharu seperti kenderaan elektrik (EV) dan dron yang mempunyai keboleh pasaran tinggi.

Dengan kerjasama erat itu beliau berkata, pemain industri utama negara dapat terus mengurus latihan TVET, seterusnya menyediakan pelajar terlatih memasuki alam pekerjaan dengan pendapatan munasabah.

"Pada masa sama, kita berusaha menyelesaikan permasalahan mengenai latihan tidak sepadan, tidak diperluaskan dan tidak memuaskan membabitkan graduan.

"Tanpa tenaga mahir kompeten, pembangunan sektor TVET kemungkinan boleh tergugat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Education Group berkata, dalam konteks TVET, sektor awam dan swasta di Malaysia tidak boleh bersifat dikotomi atau pemisahan.

Tegas beliau, tanpa kerjasama baik, ia bukan sahaja akan memberi bebanan kewangan kepada satu-satu pihak, malah akan mewujudkan ketidakseimbangan bebanan kepada fasiliti untuk menyediakan tenaga kerja relevan kepada pasaran.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kerjasama efektif antara sektor awam dan swasta akan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber merentasi kedua-dua sektor tersebut.

Selain itu, kata beliau, kerjasama awam-swasta dalam menyediakan latihan perindustrian merupakan langkah tepat meningkatkan keupayaan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar.

Katanya, kursus yang disasarkan kepada golongan pekerja dan graduan akan dilaksanakan secara jangka pendek dan panjang.

Jelasnya, perkara itu bergantung kepada kesesuaian masing-masing.

"Kita menawarkan dua pilihan iaitu graduan yang masih belum bekerja disarankan untuk mengambil kursus yang ditawarkan tujuh hingga 14 hari untuk jangka pendek.

"Sementara bagi mereka yang bekerja, kita juga menawarkan kursus berkenaan pada hari minggu," ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang berminat boleh melayari autotronics.edu.my/kerjayamadani.