Tiada permohonan keluarkan Beras Kedah

Dr Ismail
Dr Ismail
A
A
A

ALOR SETAR - Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh menjelaskan tiada permohonan dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan pengeluaran Beras Kedah.

Katanya, beliau musykil bagaimana Sanusi boleh mengatakan ada pihak cuba menghalang hasrat berkenaan.

"Industri Padi Beras Negara diikat oleh Akta 522 termasuk keinginan kerajaan negeri untuk merealisasikan Beras Kedah.

"Kerajaan negeri perlu memohon lesen kepada pihak kawal selia yang menguatkuasakan Akta 522 bagi tujuan membuat kilang dan memproses padi untuk dijadikan beras seterusnya hasilkan beras sejahtera," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Jelasnya, begitu juga kilang padi yang mengeluarkan beras kepada pemborong dan peruncit, kerajaan negeri perlu mempunyai lesen pemborong dan peruncit.

"Kerajaan negeri hanya perlu mohon sahaja lesen dan ia akan dipertimbangkan oleh pihak kawal selia,"ujarnya.

Katanya, berdasarkan situasi berkenaan, jelas Sanusi hanya ingin menutup kelemahan beliau lalu menyalahkan pihak lain dalam isu pengeluaran Beras Kedah.

Pada Selasa, Sanusi ketika menjawab soalan tambahan Datuk Najmi Ahmad (Pas-Kupang) ketika Sidang DUN mendedahkan hasrat negeri itu untuk mengeluarkan Beras Kedah cuba dihalang pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selepas Kedah mengumumkan hasrat tersebut, terdapat usaha dibuat agar tiada pihak yang menjual beras kepada Kedah bagi menjayakan perancangan tersebut.


Wujud hospital pakar bertaraf antarabangsa di Langkawi

Dalam perkembangan berasingan, Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud berkata, Pulau Langkawi wajar memiliki hospital pakar bertaraf antarabangsa bagi menampung pelancong asing untuk mendapatkan rawatan di pulau pelancongan itu.

Menurutnya, kemudahan fasiliti itu diperlukan memandangkan Langkawi tersenarai di tangga kesembilan sebagai Pulau Terbaik Di Dunia oleh majalah Travel Plus Leisure Readers 2023.

"Terbaharu, kita dikejutkan dengan berita Raja Norway, Raja Harald V dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha yang tidak memiliki Wad Diraja untuk mendapatkan rawatan setelah jatuh sakit ketika baginda sedang bercuti di Pulau Langkawi.

"Justeru, kerajaan negeri perlu melihat kepentingan untuk melabur melalui anak-anak syarikat kerajaan negeri atau menarik pelabur bagi mewujudkan hospital pakar bertaraf antarabangsa di Pulau Langkawi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Isnin.

Amar Pared menambah, anak-anak syarikat milik kerajaan negeri harus meneroka pasaran pelancongan berasaskan kesihatan (health tourism) yang semakin mendapat perhatian pelancong.

Beliau menyifatkan, usaha ini penting bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Pulau Langkawi.

"Bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Pulau Langkawi, kerajaan negeri turut disarankan mengoptimum penggunaan tanah-tanah di Pulau Langkawi untuk pembangunan pelancongan berasaskan pertanian (agrotourism)," katanya.

Amar Pared mencadangkan kerajaan negeri memperkenal geran atau bantuan kepada pengusaha pelancongan berasaskan 'agrotourism' yang layak bagi tujuan pengkomersialan produk pertanian dan pelancongan.

Beliau berpandangan, inisiatif serampang dua mata ini akan merancakkan lagi industri pelancongan, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu, dan mengurangkan jumlah tanah terbiar yang tidak diusahakan, selain dapat memenuhi permintaan pasaran produk pertanian.

Dalam perkembangan sama, kata beliau, kerajaan negeri perlu mempersiap ekosistem pelancongan negeri ini supaya mampu menarik masuk pelancong tempatan dan antarabangsa untuk melancong ke negeri ini bagi menjayakan Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!