Sila log masuk terlebih dahulu.

Sanusi dedah ada sekatan realisasikan Beras Kedah

A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan hasrat negeri itu untuk mengeluarkan Beras Kedah cuba dihalang pihak tertentu.

Beliau berkata, selepas Kedah mengumumkan hasrat tersebut, terdapat usaha dibuat agar tiada pihak yang menjual beras kepada Kedah bagi menjayakan perancangan tersebut.

Menurutnya, sekatan seperti itu harus ditamatkan kerana ia menggambarkan politik kuno masih diamalkan dalam negara ini.

“Sebelum ini negara mengalami kecelaruan dalam industri beras tempatan. Disebabkan itu, Kedah selaku negeri pengeluar beras (mahu hasilkan beras sendiri) tetapi tak dibenarkan kawal pengeluaran dan pemasaran hasil padi.

“Apabila kita uarkan mahu keluarkan Beras Kedah, ada respon (diterima) supaya tidak ada pihak jual beras kepada Kedah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Najmi Ahmad (Pas-Kupang) berhubung perancangan negeri dalam menjamin bekalan makanan, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Selasa.

Sanusi berkata, walaupun industri beras dikawal sepenuhnya oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, namun Kedah bersedia memberikan kerjasama sewajarnya dalam merealisasikan Beras Kedah.

“Saya yakin Jabatan Pertanian dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dapat berurusan, biarpun dari segi politik tidak seperti diharapkan. Masih ada politik kuno diamalkan untuk mengasingkan kerajaan negeri dengan agensi Persekutuan.

“Saya perlu buat teguran terbuka di Dewan yang mulia ini,” tegasnya.

Sanusi berharap semua jabatan dan agensi di Kedah dapat menjalin kerjasama erat untuk berhadapan cabaran krisis makanan pada masa akan datang.

“Jangan ada agensi cuba asingkan Kedah daripada aktiviti atau perancangan kementerian. Saya difahamkan, ada arahan lisan dari pihak agensi Persekutuan untuk kurangkan kerjasama dengan negeri.

“Saya bagi jaminan Kedah bersikap terbuka dan alukan kerjasama dari agensi Pusat untuk pastikan kebimbangan makanan yang meruncing dapat diatasi,” ujarnya.

Pada 18 Februari lalu, Sanusi mengumumkan kerajaan negeri merancang mengeluarkan produk Beras Kedah pada harga lebih murah berbanding harga pasaran ketika ini.

Pihaknya sedang merangka kaedah pengeluaran beras berkenaan bagi membolehkan rakyat negeri ini dapat membelinya pada harga lebih murah.

Dalam pada itu, Sanusi berkata, punca berlakunya krisis beras antaranya disumbangkan oleh ketamakan pengusaha sektor makanan dan pertanian dan ia harus ditamatkan menerusi penguatkuasaan undang-undang kerajaan Persekutuan.

“Antaranya isu kartel padi terbongkar apabila ada serbuan terhadap pihak yang simpan padi di Kedah, harap isu kartel dapat diselesaikan untuk pastikan tiada lagi kebimbangan bekalan beras akan datang.

“Saya juga harap tiada sekatan (kepada Kedah) dalam agihan varieti padi berkualiti. Kita juga tak mahu menjadi pusat lambakan baja tidak berkualiti,” katanya.

Sanusi memaklumkan, Kedah juga tidak terkecuali menerima tempias daripada cabaran ekonomi global dengan mengambil kira unjuran penduduk negeri meningkat dari 2.19 juta orang pada 2021 kepada 3.46 juta pada 2040.

“Cabaran mengekalkan status negeri ini sebagai Jelapang Padi serta kawasan liputan tanah berhutan akibat tekanan arus urbanisasi berikutan kawasan pembangunan semakin terhad.

“Pelan Pembangunan Kedah 2035 dirangka dengan pelbagai strategi dan inisiatif dalam mempersiapkan negeri ini berdepan cabaran ekonomi lokal dan global menjelang 2040,” katanya ketika menjawab soalan lisan Najmi yang bertanyakan persiapan negeri menghadapi cabaran ekonomi global menjelang 2040.

Menurutnya lagi, antara perancangan termasuk projek penanaman padi secara estet dan tanaman padi lima kali dua tahun bagi menjamin keselamatan makanan.

“Projek inisiatif tenaga boleh diperbaharui (TB) seperti pembangunan janakuasa hidro dan ladang solar, pembangunan infrastruktur digital seperti Pusat Data dan ‘Internet Exchange’ sebagai ‘enabler’ kepada sektor perindustrian berteknologi tinggi.

“Program Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri berteknologi tinggi,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28