Sanusi yakin Beras Kedah akan berada di pasaran
ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan menjalin kerjasama dengan syarikat pengilang beras untuk mengeluarkan Beras Kedah pada harga lebih murah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hasrat itu akan dapat direalisasikan meskipun terdapat halangan selepas Kedah mengumumkan perkara itu.
Menurutnya, perancangan tersebut akan diusahakan Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani sehingga Beras Kedah berada di pasaran.
“Kita akan teruskan, di peringkat awal lepas kita lontarkan idea itu (wujud Beras Kedah), sudah ada halangan bukan dari orang itu (Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, (MADA) Datuk Dr Ismail Salleh), itu bukan tanggungjawab dia.
“Dia jaga MADA, lepas padi naik lori dari kawasan MADA masuk kilang bukan lagi tanggungjawab MADA, kita runding dengan pengilang beras, bukan padi,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan pada Khamis.
Sanusi berkata, pihaknya tidak akan melayan sebarang bentuk kritikan daripada pihak-pihak tertentu kerana kerajaan negeri mahu membantu rakyat.
“Saya tak mahu layan dia, bukan kita nak jadi tauke beras nak kena mohon pelbagai lesen, bukan kerja kerajaan negeri buka kilang beras, kita nak pengusaha (pengilang) hasilkan Beras Kedah dengan harga lebih murah.
“Kita akan cari jalan, tapi dia kata susah nak dapat bekalan orang tak mahu jual beras itu, kita ada lah (ikhtiar), tunggu Beras Kedah keluar,,”katanya.
Pada Rabu, Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh memaklumkan kerajaan negeri tidak membuat sebarang permohonan untuk mengeluarkan Beras Kedah.
Beliau berkata, pihaknya musykil apabila Sanusi mendakwa terdapat pihak cuba menghalang hasrat Kedah tersebut.